Majlis Pakatan Rakyat

Majlis Pakatan Rakyat
Cahaya Keadilan & Kemenangan Pasti Terbit ; Negara ini mesti berubah. Mungkin kita kalah dalam satu atau dua pertempuran, tapi saya yakin kita akan memenangi peperangan ini,"ANWAR IBRAHIM"

Wednesday, September 24, 2008

Ke Arah Pembentukan Kerajaan Yg Adil Dan Beradab



PR:Tetap bentuk kerajaan dalam masa terdekat Dilulus terbit pada Wednesday, September 24 @ 19:43:52 MYT oleh greenboc Oleh pokweil"Selepas dua permintaan untuk berjumpa Perdana Menteri dan menggesa diadakan sidang tergampar Parlimen, Pakatan Rakyat tetap 'on track' untuk menubuhkan kerajaan. Dalam apa keadaan pun Umno dan Barisan Nasional yang sedang berpecah teruk, tetap akan ditumbangkan juga.Ikuti pandangan Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul, yang merupakan antara individu terlibat dalam usaha membentuk kerajaan Pakatan Rakyat peringkat persekutuan.
Sebagai Ahli MPT KeADILan, Johari berpengalaman luas dalam politik. Beliau meninggalkan Umno sejak peristiwa pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam tahun 1998.
Pernah bergiat dalam Yayasan Gerak Bakti, Pergerakan Pemuda Umno dan pernah membantu Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Beliau juga adalah antara Pengarah Biro Tatanegara.
Wartawan Harakah MOHD RASHIDI HASSAN, SAADON AKASH, IRWAN MUHAMMAD ZAIN dan jurufoto MOHD NASIR SUDIN menemuramah beliau di Harakah pada 23 September 2008, untuk mengetahui lebih lanjut perkembangan terkini pembentukan kerajaan baru itu.
HARAKAH: Setengah pihak menimbulkan kekeliruan mengenai tarikh 16 September. Ada yang beranggapan tarikh tersebut merupakan tarikh akan terbentuk sebuah kerajaan baru di Malaysia. Boleh saudara jelaskan kenapa tarikh tersebut dipilih dan macam mana perkembangan pembentukan kerajaan baru ini?
JOHARI ABDUL(Gambar bawah): Pemimpin pakatan rakyat yang terdiri daripada PAS, KeADILan dan DAP memilih tarikh 16 September kerana ia merupakan tarikh penubuhan Malaysia. Malah kita juga telah mendokong agar tarikh tersebut dijadikan cuti umum.
Tarikh 31 Ogos adalah tarikh Tanah Melayu mencapai kemerdekaan namun ianya belum lagi disertai oleh Sabah dan Sarawak. Tarikh 16 September itu adalah tarikh keramat yang menyatukan semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
Namun begitu kita menyebut tarikh 16 September sebagai tarikh akan berlakunya proses untuk perubahan kerajaan. Ia bukan mengambil masa yang singkat seperti pertukaran jawatankuasa PIBG, pertukaran kerajaan atau proses mengambil alih sebuah kerajaan ini harus mengalami satu proses yang panjang dan juga perlu melalui pelbagai peringkat baik dari segi undang-undang dan juga perlembagaan.
Dato' Seri Anwar sendiri memegang prinsip apa-apa proses peralihan kuasa harus dilakukan dengan penuh tertib kalau tidak kita akan jadi macam negara lain seperti kita tengok di Thailand, dah berapa Perdana Menteri tetapi masih banyak juga yang belum selesai. Sebab itu kita lakukan dengan penuh cermat dan bersistematik.
16 September itu adalah asas tarikh kita. Ia boleh jadi lebih dari tarikh itu. Tetapi harus faham 16 September itu adalah titik tolak atau tarikh permulaan proses pengambilalihan kerajaan.
Contohnya pada 15 September lalu, saya bersama Dr Hatta Ramli Ramli dan wakil DAP ke pejabat Perdana Menteri di Putrajaya untuk menyerahkan surat yang meminta Perdana Menteri agar bertemu dengan Pemimpin Pakatan Rakyat.
Tetapi Perdana Menteri menolak permintaan kita itu. Dia tak mahu layan permintaan kita.
Itu proses yang pertama, yang paling lembut kita minta tetapi kalau dia tak nak kita hantar sekali lagi surat minta supaya proses ini dilakukan melalui parlimen.
Kalau Abdullah merasakan cara menyerahkan kerajaan dengan rundingan itu menderhaka kepada Umno atau BN tak mengapa kita pergi ke parlimen. Kita hantar satu lagi surat minta diadakan sidang tergempar parlimen.
Kita hantar surat ini lebih awal dari tarikh yang kita minta diadakan sidang tergempar itu. Kita minta dia fikir panjang-panjang dan dia ada masa untuk buat keputusan. Empat ke lima hari untuk buat keputusan. Kita hantar hari mesyuarat Majlis Tertinggi Umno diadakan.
Selepas itu Abdullah buat sidang media katakan tak perlu adakan sidang tergempar pada 23 September kerana parlimen akan bersidang pada 13 Oktober.
Ada sebab dan strategi kita pilih 23 September. Kita bukan hanya main pilih sahaja. Kenapa kita minta tarikh itu, kerana masalah dalam Umno itu sendiri dah teruk hingga menjejaskan ekonomi.
Abdullah mendakwa Anwar adalah punca ekonomi negara ini semakin meruncing. Apa pendapat saudara?
Mereka ini dalam keadaan terdesak jadi mereka cari sasaran lain untuk tutup kelemahan mereka sendiri tapi dia harus ingat pelabur tak masuk bukan tahun ini tetapi sejak empat tahun dulu.
Bila dia ambil alih dari Dr Mahathir, pelabur dah mula tak yakin dengan dia. Ini bukan masalah kita. Ahli kabinet dia sendiri kritik dia secara terbuka kenapa dia nak kata ini salah Anwar?
Cuba lihat SAPP keluar dari BN, mereka keluar bukan sebab kita tetapi sebab sudah tak yakin dengan BN. Dan bila mereka nak join kita, tentulah kita terima. Tetapi asasnya, mereka sudah hilang keyakinan kepada BN.
Setakat ini berapa bilangan Ahli Parlimen BN yang mahu menyertai Pakatan Rakyat?
Anwar sebut kita sudah melepasi angka 31 tetapi kita tak nak sebut berapa jumlahnya. Yang penting kita sudah ada lebih 31 orang ahli parlimen untuk membentuk kerajaan. Kalau kita sebut, macam-macam yang akan dilakukan oleh BN. Ini akan menjadikan huru-hara. Kita tak nak perkara itu berlaku.
Ini kali pertama pengambil alihan kerajaan berlaku di negara ini. Sebelum ini tak pernah beralaku. Kita belajar dari apa yang berlaku di Thailand dan Filipina.
Kita perlu lakukan dengan penuh cermat kerana kita sedar negara ini amat sensitif dengan masalah kaum. Sekali anda jolok saja soal ini, dia akan meletup. Dan ini yang mereka cuba lakukan seperti di Pulau Pinang baru-baru ini tetapi kerana kita dah tahu itu adalah senjata mereka jadi kita tak respon.
Kemudian Raja Petra dan Teresa ditangkap. Wartawan dan blogger ditangkap. Ini semua tujuan untuk menakut-nakutkan blogger dan wartawan serta aktivis atau ahli politik. Ini semua kita tahu dan sebab itu kita tak respon kepada perkara ini.
Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa Anwar hendaklah mengemukakan usul terhadap kerajaan dan jika terbukti cukup majoriti, barulah beliau boleh mengadap YDP Agong, pandangan saudara?
Betul. Sebab itu kita minta diadakan sidang tergempar parlimen. Tetapi bukan itu sahaja penyelesaiannya. Masih ada cara lain mengikut perlembagaan. Tapi kita tak bermaksud nak menyanggah kenyataan KuLi.
Tetapi kita rujuk dengan pakar-pakar perundangan dan perlembagaan jadi kita lakukan satu demi satu mengikut apa yang perlu.
Bagaimana dengan tuduhan membeli wakil rakyat BN?
Nak beli berapa kita nak beli? Sejuta? Dua juta? Kalau kita nak beli berapa puluh juta kita ada? Ini cuma propanganda dari mereka yang nak menunjukkan bahawa mereka adalah yang paling setia dalam BN. Mereka gunakan material sebagai bahannya.
Kita tak pernah buat apa-apa tawaran kerana kita berpegang pada prinsip yang telah kita sepakati. Kita tak nak mereka yang boleh dibeli dengan wang keran mereka ini kalau katakan hari ini kita tawar sejuta mereka masuk, esok kalau ada orang lain tawar dua juta, dia pergi kesana pula. Kita tak nak yang macam ini.
Tetapi adakah mereka ini akan ditawarkan jawatan sebagai menteri?
Yang itu sudah pasti. Kita nak berlaku adil. Cuma apa jawatannya terpulang kepada pucuk pimpinan. Tapi yang penting, impian kita nak jadikan Malaysia yang baru. Tak ada lagi yang murung. Perniagaan boleh berjalan lancar. Ekonomi stabil. Kita boleh hantar orang untuk meninjau pelaburan di luar.
Pakatan Rakyat mempunyai 15 perkara utama atau 15 perkara yang diselesaikan sebaik sahaja ambil alih kuasa.
Macam bebaskan tahanan ISA. Nak hapuskan ISA kita kena lalui parlimen tapi kita akan buat juga tapi yang penting kita bebaskan dulu yang ditahan dah enam atau tujuh tahun.
Ada dakwaan bahawa andainya Pakatan Rakyat memerintah maka hak orang Melayu akan terpinggir?
Itu cuma perang saraf mereka. Di antara yang akan kita pertahankan adalah perlembagaan negara. Kedudukan raja Melayu kita akan pertahankan. Perkara 153, hak orang Melayu akan kita pertahankan dan juga kedudukan Bahasa Melayu.
Tapi disebabkan sokongan orang Melayu dan bukan Melayu yang lebih kepada kita mereka rasa takut dan buat propanganda macam itu. Kita lihat di Perak, Dato' Seri Nizar jadi Menteri Besar.
Berapa banyak kerusi PAS? Kurang dari KeADILan tetapi adakah hak orang Melayu dah tergadai? Dan Nizar masih berjaya sebagai Menteri Besar.
Cuma propanganda BN membuatkan kita dilihat terlalu melebihi orang bukan Melayu. Sokongan dari bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat bukan bermaksud kita jual Melayu. Ini adalah propaganda BN semata-mata.
Adakah perkara ini telah dipersetujui oleh semua parti komponen Pakatan Rakyat?
Perkara itu memang dipersetujui oleh parti komponen Pakatan Rakyat. Malah DAP pada tahun 2006 telah tukar perlembagaan parti mereka iaitu mereka pegang prinsip-prinsip perlembagaan iaitu hak orang Melayu dan bahasa Melayu akan dipertahakan.
Malah mereka terima Islam sebagai agama rasmi. Sebab itu Karpal Singh sama Utusan sebab dia tak cakap pasal Islam itu.
Selepas permintaan mengadakan sidang tergempar parlimen tak dilayan, apa langkah seterusnya?
Kita ada beberapa langkah yang telah disusun. Cuma tunggu dan lihat. Yang penting kita jalankan kerja untuk mecapai apa yang kita rancangkan.
Kita dah minta dua perkara yang besar, adakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan juga sidang tergempar parlimen. Kita dah ikut prosedur, jangan pula kata kita biadap. Yang tak nak cuma mereka bukan kita.
Pakatan Rakyat sekarang telah meletakkan tarikh baru iaitu 1 Oktober. Apakah ini tarikh terakhir atau ianya cuma untuk mengerunkan BN?
Mungkin lebih awal dari itu. Tengok keadaannya. Yang penting kita dah susun rapi apa yang patut kita buat. Langkah kita seterusnya memastikan apa yang dirancang berjaya.
Yang kita nak mereka tak nak ikut jadi kalau kita buat apa yang kita nak buat jangan pertikaikan. Kita ada cara yang tak perlu sampai tulis surat tapi kita tak nak macam itu kerana kita tak nak bercelaru. Bukan hanya parti bercelaru tetapi rakyat yang bercelaru.
Apakah tidak terdapat usaha-usaha dari BN untuk mengagalkan rancangan ini dengan cara menawarkan jawatan kepada ahli parlimen Pakatan Rakyat atau membeli mereka?
Tak ada pun usaha dari BN untuk gagalkan usaha ini. Kalau nak kata mereka nak beli kita, saya sendiri ahli parlimen tak pernah pun terima panggilan ajak masuk BN. Bawa pergi Taiwan, untuk apa? Nak larikan daripada 16 September? Kalau tak dapat 16, kita boleh pindah ke 17 atau 18.
Tapi bila kita hantar wakil kita ke Taiwan, mereka lari malam. Dipaksa balik. Semua ini apa? BN sudah tak ada kekuatan untuk bertahan. Dia buat apa pun mereka tahu mereka dah tak kuat.
Sebab itu tak ada usaha dari mereka untuk membeli atau menawarkan ahli parlimen Pakatan Rakyat sertai mereka kerana rakyat sudah hilang kepercayaan kepada BN.
Perpaduan Pakatan Rakyat sekarang bagaimana?
Perpaduan adalam Pakatan Rakyat kukuh. Kalau sebelum ini terdengar dalam PAS ada yang tak puas hati tetapi bila keputusan muktamar agar kukuhkan Pakatan Rakyat, perkara itu sudah tak timbul lagi. Saya tak tahu masalah dalaman PAS tetapi saya rasa sudah tidak timbul masalah.
Hubungan kita semakin rapat. Kita dah bersama bukan tahun ini saja tetapi sejak 1999. Ada yang sebelum ini tak jadi wakil rakyat sekarang sudah jadi wakil rakyat. Macam saya lah. Kita dah berkawan lama, tak ada masalah yang timbul.
Apa harapan saudara dalam usaha membentuk kerajaan baru ini?
Saya mempunyai impian untuk melihat Malaysia ini berubah lanskap politiknya. Pentadbiran yang lebih telus dan kekayaan dapat dikongsi bersama oleh semua rakyat.
Jadi saya harap ianya akan menjadi kenyataan dan semoga rakyat terus bersabar dan berdoa agar impian ini akan menjadi kenyataan."

No comments: