Majlis Pakatan Rakyat

Majlis Pakatan Rakyat
Cahaya Keadilan & Kemenangan Pasti Terbit ; Negara ini mesti berubah. Mungkin kita kalah dalam satu atau dua pertempuran, tapi saya yakin kita akan memenangi peperangan ini,"ANWAR IBRAHIM"

Monday, November 30, 2009

Gempa Bumi di Kuala Pilah...???

Nov 30, 09 8:47pm

Gempa bumi lemah berukuran 3.0 pada skala Richter berlaku buat kali keempat di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada pukul 2.30 petang hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, gempa bumi itu berpusat di 22km timur Seremban dan merupakan kejadian terbaru daripada tiga kejadian gempa bumi yang berlaku di lokasi sama sejak semalam.

Kejadian gempa bumi pertama berlaku pada pukul 2.30 petang semalam dan hari ini sebanyak tiga kejadian gempa bumi direkodkan oleh Jabatan Meteorologi yang berlaku pada pukul 12.15 tengah malam, 9.10 pagi dan 2.30 petang ini, menurut kenyataan itu.

Gegaran akibat gempa bumi itu dapat dirasai oleh penduduk di kawasan berkenaan, bagaimanapun, orang ramai tidak perlu berasa bimbang kerana gegaran itu adalah lemah.

Menurut kenyataan itu, kejadian gempa bumi lemah adalah kesan daripada gempa bumi kuat yang berlaku di Indonesia baru-baru ini. BERNAMA

kemaskini 8.49pm Penduduk tempatan Kuala Pilah, Negeri Sembilan masih tertanya-tanya sama ada gempa bumi lemah yang dilaporkan berlaku di daerah itu benar-benar terjadi.

Seorang penduduk Abd Karim Manan berkata, beliau tidak merasai apa-apa gegaran kesan daripada kejadian tersebut.

"Saya pada masa itu pun belum tidur lagi," katanya kepada Malaysiakini ketika diminta menceritakan laporan gempa berukuran 3.3 pada skala Richter yang dilaporkan di daerah tersebut awal pagi ini.

Laporan Bernama, yang memetik kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia itu menyebut, gempa bumi berkenaan berlaku pada jam 12.15 pagi, berpusat di 22km timur Seremban.

Abd Karim, yang berada di Kuala Pilah malam tadi, menjelaskan beliau juga tidak mendengar apa-apa laporan berita berkaitan kejadian itu.

Seorang pemimpin parti politik tempatan juga tidak dapat mengesahkan kejadian tersebut, malah tidak mengetahui langsung kejadian tersebut hinggalah dihubungi wartawan petang ini.

"Kalau ada, inilah kejadian pertama yang berlaku di Kuala Pilah, tapi kita tidak boleh pastikan ada atau tidak ada," katanya.

Beliau, yang enggan namanya disebut, bagaimanapun mengakui kejadian gempa bumi itu diperkatakan oleh masyarakat apabila beliau melakukan tinjauan rambang.

"Saya sudah tanya ramai ketua kampung dari Seremban sampai Kuala Pilah, tapi semuanya kata tidak ada (berlaku)," katanya.

"Tapi ada yang kata (berlaku) di Senawang, kita pun tidak boleh pastikan perkara sebenar. Ini semua khabar-khabar angin sahaja."

Gegaran akibat gempa bumi itu dapat dirasai oleh penduduk di kawasan berkenaan, bagaimanapun, orang ramai tidak perlu berasa bimbang kerana gegaran itu adalah lemah, menurut kenyataan terbaru Jabatan Meteorologi Malaysia.

Empat gempa bumi itu berlaku di lokasi sama sejak kejadian pertama 2.30 petang semalam.

Hari ini, sebanyak tiga kejadian gempa bumi direkodkan oleh Jabatan Meteorologi yang berlaku pada pukul 12.15 tengah malam tadi, 9.10 pagi dan 2.30 petang ini.

Sejak penghujung 2007, Malaysia mencatatkan 40 gempa bumi lemah, tetapi yang ketara 37 daripadanya berlaku di sekitar garisan gempa bumi di Bentong di Pahang.

Tiga lagi gempa bumi itu di Manjung (Perak) dan Jerantut (Pahang).

Pengarah jabatan itu Dr Rosaidi Che Abas dilaporkan berkata sejak November 2007 sehingga Mei tahun lepas, sebanyak 29 gempa bumi dicatatkan di kawasan Bentong.

Kes terbaru pada 8 Okt lepas bagaimanapun mencatat gempa bumi paling kerap, sebanyak lapan kali dari pukul 4.45 pagi hingga 12.05 tengah hari, bermagnitud antara 1.1 hingga 2.8 skala Richter.

Kesemua gempa bumi itu dikesan di sekitar Bukit Tinggi dan Janda Baik yang mempunyai garis sesar berukuran 15 kilometer lebar dan 70 kilometer panjang.

Sumber: Malaysiakini @ Bernama

@PR Juasseh/Jemapoh@

Mahathir Buka Pekung Sendiri

UMNO - Che Det
| | Comments (0) | TrackBacks (0)
Bookmark and Share

1. Pilihanraya Umum ke-13 hanya dua tahun lagi. Saya sedang meneliti reaksi rakyat terhadap UMNO dibawah pimpinan baru. Saya terkejut. Saya terkejut kerana seorang bekas pemimpin UMNO yang kanan telah meluahkan perasaannya dengan berkata "UMNO is rotten to the core" (UMNO busuk hingga ke ususnya).

2. Beliau telah berkata yang beliau sedang memikir untuk menyokong PAS. Beliau juga berkata beliau telah bertemu ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang telah bersara dan mereka speendapat dengannya.

3. UMNO busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi katanya. Di cawangan, ketua cawangan hanya berjuang untuk mengekal dirinya sebagai ketua sahaja. Kenapa? Sebabnya majoriti ketua cawangan dapat jadi pengerusi Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dengan elaun tertentu dan kuasa untuk mengagih peruntukan. Berpeluang juga untuk jadi kontraktor Kelas F untuk projek kecil di luar bandar.

4. Untuk menentukan dirinya tidak dicabar ketua cawangan tidak akan benarkan sesiapa yang lebih terpelajar daripadanya masuk UMNO cawangannya. Lebih daripada itu kebanyakan peruntukan untuk jadi ahli UMNO, yang mana dia mesti melalui cawangan, tidak akan dilayan. Tujuannya ialah supaya cawangannya tidak mempunyai banyak ahli kerana mereka tetap akan menimbulkan masalah dan sukar dikawal, bahkan sukar disogok pun.

5. Sebab itu tidak ramai ahli profesional yang dapat menjadi ahli UMNO. Sebaliknya semakin ramai daripada pemimpin PAS terdiri daripada doktor, peguam, jurutera dan lain-lain profesyen.

6. Oleh kerana ketua cawangan biasanya tidak memiliki pelajaran yang tinggi dan beliau menentukan ahli lain dalam cawangannya mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih rendah daripadanya, maka apabila ketua terpaksa berhenti kerana sebab-sebab tertentu, maka penggantinya akan terdiri daripada yang kurang berkebolehan daripadanya. Dengan itu kualiti kepimpinan akan merosot sepanjang masa.

7. Tentu ada cawangan yang tidak seperti ini tetapi pengecualian hanya mengesahkan keadaan yang sebenar.

8. UMNO, kata bekas pemimpin kanan ini sekarang dipimpin oleh perasuah. Mereka menjadi ahli Majlis Tertinggi kerana sogokan wang. Orang ramai tidak akan serah nasib mereka kepada perasuah.

9. Penempatan perasuah dalam Kerajaan dan badan-badan lain juga memburukkan lagi imej UMNO. Sudah tentu perasuah akan dipilih sebagai calon UMNO dalam Pilihanraya Umum ke-13. Jika mereka diberi kemenangan maka negara akan dapat Kerajaan perasuah. Sebab itu beliau tidak akan sokong UMNO sebaliknya akan menyertai dan menyokong parti lawan. Katanya lagi hingga kini separuh daripada orang Melayu tidak merasai nikmat kerana Kerajaan-Kerajaan pimpinan UMNO menidakkan hak mereka sedangkan mereka juga orang Melayu walaupun mereka menyokong parti lawan. Mereka yang menyokong parti lawan bertambah sejak (Tun) Abdullah kerana ramai daripada ahli UMNO sendiri sudah tidak percaya kepada UMNO.

10. Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong UMNO. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan.

11. Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab UMNO tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli UMNO juga.

12. Rakan-rakan dalam Barisan Nasional semuanya berpecah dan lemah. Mereka tidak mampu menjayakan Barisan Nasional.

13. Masa semakin singkat untuk memperbaiki keadaan ini. Saya mencatat maklumat ini untuk pengetahuan umum sahaja.


Petikan dari blog: http://chedet.co.cc/chedetblog/2009/11/umno.html#more(
UMNO - Che Det )

@PR Jemapoh/Juasseh@

Thursday, November 26, 2009

Salam Lembaran Eidul Adha & Salam Reformasi

Kesempatan ini "Pejabat Pakatan Rakyat Dun Juasseh/Jemapoh" mengucapkan Selamat Menyambut Hariraya Eidul Adha kepada semua muslimin/ muslimat.

Marilah sama-sama kita tingkatkan pengorbanan untuk meningkatkan keimanan dan menjana taqwa di sisi Allah SWT.

Lakukan pengorbanan dalam pengertian yang lebih luas dalam kehidupan kita.


Insyaallah walaupun pengorbanan itu dilihat kecil tetapi sekiranya dilakukan dengan niat yang tulus ikhlas nilainya tinggi di sisi Allah SWT.

Pengorbanan yang besar perlu dimulakan daripada pengorbanan yang kecil-kecil.
Latih dan biasakan lah diri kita untuk melakukan pengorbanan.

Insyallah kita akan dapat merasakan nikmat dan kemanisan iman.


@PR Juasseh/Jemapoh@

Wednesday, November 25, 2009

Berita Atok Ghani Di Sinar Harian


Jemapoh –25hb Nov 2009-Rabu Warga emas hilang ditemui mati di ladang kelapa sawit (klik) Seorang warga emas yang dikatakan hilang dipercayai keluar bersendirian dari rumahnya, di Kampung Baru Kuala Jemapoh, ditemui mati di ladang kelapa sawit di Kampung Air Putih, di sini semalam.

Mayat Abdul Ghani Gadoh, 83, ditemui 1.5 kilometer dari rumahnya, kira-kira 3.45 petang semalam oleh orang kampung yang sedang mencarinya di situ.

Difahamkan, kawasan itu menjadi ‘tempat tinggalnya’ sejak kehilangannya Khamis sehingga hari ini (semalam).

Anak bongsunya, Saripah Abdul Ghani berkata, dia tidak menyangka menyambut kepulangan ayah dalam keadaan tidak bernyawa.

“Saya sedih kerana tidak dapat menemani ayah di saat-saat akhirnya. Namun saya reda dengan ketentuan Allah. Saya tetap bersyukur kerana masih dapat melihat wajahnya buat kali terakhir walaupun dalam keadaan menyedihkan.

“Daripada saya tidak tahu ke mana ayah pergi, lebih baik saya menerimanya dalam keadaan seperti ini. Sekurang-kurangnya saya dan ahli keluarga dapat berjumpanya buat kali terakhir dan sendiri mengebumikan mayatnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Katanya, Allahyarham akan dikebumikan pada malam ini (semalam) selepas solat Maghrib dan berharap semoga rohnya dicucuri rahmat.

Sementara itu, Saripah berterima kasih kepada penduduk kampung yang membantu mencari Allahyarham selama ini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Maah Talib, 80an dan tiga anak.

Sinar Harian semalam menyiarkan laporan kehilangan Abdul Ghani.

Menurut sumber polis, tiada unsur-unsur jenayah didapati dan kematian Allahyarham diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

@PR Juasseh/Jemapoh@

Tuesday, November 24, 2009

Gempar...!!! Al-Fatihah-Atok Ghani


Atok Ghani yg dilahirkan dlm 1920 warga emas Desa Jemapoh telah kembali keramatullah.

Arwah adalah ayah kepada bekas pengerusi JKKK Desa Jemapoh Chequ Yusoff (Juga telah meninggal di Mekah) telah keluar rumah secara bersendirian tanpa di sedari keluarga, hilang dari kediaman sejak 6 hari yg lalu. Seluruh tenaga penduduk kampong bergerak pantas bergabung dengan anggota polis dan juga bantuan anjing pengesan polis telah membuat operasi carian hampir setiap waktu tetapi gagal.

Arwah telah dijumpai petang tadi sekitar jam 3.oopm oleh penduduk kampong di belukar berhampiran ladang sawit ditanah kebun bekas imam Jamal Jln Kg Ayer Puteh. Sewaktu ditemui, arwah kemungkinan meninggal dunia sewaktu subuh berdasarkan lelehan darah yg masih baru dari luka-luka kecil di kaki sewaktu merentas belukar.

Sewaktu pencarian..., terdapat beberapa kesan jejak belukar yg terang mungkin arwah pernah bermalam sebelum dijumpai meninggal. Arwah yang telah berumur dan kehilangan beberapa daya ingatan juga pengasas surau Jemapoh. Selamat dikebumikan selepas Isyak tadi.

Semoga arwah dihimpunankan bersama-sama orang-orang yang solleh. Terima Kasih tak terhingga oleh waris-waris arwah ke atas perhatinan orang2 kampong sewaktu usaha pencarian sebelumnya hinggalah di hari perkebumian.

@PR Juasseh/Jemapoh@

Monday, November 23, 2009

Rayuan Sayap Umno Gagal. PRK Mungkin diadakan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan keputusan mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah minggu lalu.

Suruhanjaya itu bagaimanapun akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung penolakan penangguhan tersebut.

Isnin lalu, hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Dalam keputusannya, hakim menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

"Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya dalam penghakimannya.

"Pada pandangan saya, Perkara 51 menjelaskan syarat yang menyebabkan kerusi menjadi kosong dan responden pertama (Abu Hassan) telah menepati syarat tersebut," kata hakim itu lagi ketika membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Speaker DUN itu memfailkan semakan berkenaan pada 1 Oktober, selepas SPR membuat keputusan bahawa tidak berlaku kekosongan dalam kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hassan masih merupakan wakil rakyatnya.

Abdul Isa memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong.

Dalam permohonannya, Abdul Isa turut memohon perintah bagi SPR mengadakan pilihan raya kecil.


Sumbernya di sini

@PR Juasseh/Jemapoh@

Proses tua adalah proses perjalanan kematangan


Makhluk bernama usia penuh dengan keajaiban. Ia sebuah program perjalanan genetik yang berada dalam khazanah kehidupan. Ia tidak dapat dielakkan. Bagaikan tabii sebuah perahu yang menghilir, ia perlahan mengalir.

Adakala, ia tersangkut awal dan boleh kekal terhenti. Ada masanya, ia boleh terhenti sementara dan mengalir lagi untuk juga berhenti di tengah. Hanya orang yang ditakdirkan panjang usianya saja yang akan terus mengalir, rapat hingga kehujung. Hujung boleh bermakna 100 tahun misalnya.

Dalam perjalanan merempuh tebing dan melayan selekoh di liku-liku cabaran hidup itulah orang yang berusia mengumpul garam.Garam itulah yang mengasingkan antara orang yang bijaksana dengan yang kurang. Tentu sekali air yang dalam lebih jernih.

Dalam banyak hal, kematangan banyak tertakluk kepada usia. Jika tidak, masakan junjungan besar kita Nabi Muhamad s.a.w. dilantik dalam usia 40 tahun. Jika itulah had minimum bermulanya usia kepimpinan yang sihat maka itulah dalilnya.

Namun, ini tidak bermakna yang pemimpin tidak boleh lahir lebih awal. Namun, jika kita bercakap soal “bench marking” dari isyarat yang digaris oleh langit, maka inilah idealnya. Bermula dari usia itu, Rasulullah s.a.w. menerima wahyu-wahyu suci. Di sana kita dapat saksikan betapa faktor kewarasan memainkan peranan.

Dalam usia awal dewasa yakni antara umur 20-39 tahun atau disebut juga sebagai zaman vicenarian/tricenarian ini, manusia terlalu tinggi digerakkan oleh nafsu ammarah,emosi dan kecintaan untuk memenuhi kegelojohan cita-cita.

Dunialah, apa lagi! Tanpa perimbangan dan kawalan agama, tamaknya akan sering melanggar tebing. Ia kerap terbabas.

Jika dia seorang pemimpin parti atau organisasi dan kurang berhati-hati, dia akan banyak merempuh tembok amanah dan melanggar pelbagai disiplin yang barangkali dia sendiri yang rangkakan.

Kadangkala, atas nama ghairah berdakwah, dia terlalu rajin mengingatkan anak buah tetapi dialah orang yang pertama melanggari kata-kata dari kuliahnya. Kemudian, dia lazimnya sibuk dan banyak membakar masa produktifnya untuk mempertahankan kesalahan diri dari kubu persembunyiannya yang bernama ego. Dalam mabuk kuasa dan populariti itulah, dia memalukan dirinya. Ini akan terbukti dalam jangka panjang.

Manakala, usia pertengahan dewasa antara 40-59 tahun atau disebut sebagai tahap quadragenarian/quinquanarian pula adalah usia pembenihan dan pertumbuhan bakat kepimpinan yang terbaik.

Zaman yang dikenali sebagai renaissance kewarasan ini adalah zaman yang subur dengan gelora sumbangan. Dengan bekal taqwa, ilmu dan keikhlasan, seorang mukmin sejati akan dapat disaksikan kegemilangan akhlaknya yang terpuji sewaktu menangani apa jua isu seputar amanah yang dipikulnya. Dia lazimnya berprestasi tinggi.

Bagaikan kemuliaan seekor penyu, dia akan menelurkan ribuan jasa tanpa diriuhinya akan kehadiran "sayanya." Dia adalah air yang senuh setin. Keakuan dan ketrampilannya dipendamkan serahsia mungkin tetapi di sana orang seakan-akan tahu dia adalah sebutir geliga yang tergilap.

Tanpa mengocak loceng kehadiran, sentuhannya masih terasa. Tangannya mungkin tidak kelihatan tetapi cakar-cakar amal yang mulia dari sentuhan dan tinggalan jasanya ada di terkesan di mana-mana.

Membelek muka surat profil Tok Guru Nik Aziz, kita boleh menemui catatan-cacatan keajaiban seumpama ini di sana sini. Sejak tahun 1967, sewaktu parti saingan galak menangkap ulama, berbekalkan keyakinan, keimanan dan keberanian, beliau telah mewaqafkan usianya kepada gerakan Islam.

Jika PAS mengasaskan kepimpinan ulama seawal tahun 1982, maka dialah pancang dan tunggulnya. Dan, dia masih unggul, tetap tercegat setia berdiri di situ hingga sampai ke hari ini.

Demikian, sebuah nilai istiqomah. Sewaktu PAS berjalan di dalam pelita; di tengah-tengah hembusan nafas pihak musuh yang sentiasa termuncung-muncung, mahu memadamkan api kebenaran itu, Tok Guru nekad membelah malam. Dia tetap tekun untuk sabar berperahu.

Dalam usia pertengahan dewasa yang di kategorikan oleh pengkaji sebagai usia gemilang itulah, Tok Guru benar-benar menepati perjalanan teori. Akhirnya, dalam usia kira-kira 58 tahun, barulah beliau ditakdirkan oleh Allah menduduki kerusi menteri besar.

Rupanya, dari tahun 1967-1990, selama 23 tahun, Tok Guru Nik Abdul Aziz telah menjalani satu tempoh tarbiyah amali penuh kepayahan memimpin jemaah sebelum beliau di lantik CEO untuk sebuah kerajaan.

Sebelum kecemerlangan beliau terserlah, beliau dijeruk ke dalam tempayan ujian yang cukup menguji terlebih dahulu. Beliau dihujani dengan lembing fitnah dan ungkit umpatan. Beliau berembun di pelana pagi, setiap kembali dari kuliah di jauh malam.

Beliau cuma bermula dengan sebuah motor Honda Cub dan bukan dengan kenderaan 4WD. Inilah yang dikatakan sebagai proses perjalanan usia. Kewarasan kepemimpinannya tidak datang percuma. Tidakkah hikmah itu barang yang hilang.


Lazimnya, apa yang hilang perlu di cari?

Sesungguhnya, di sana ada sebuah madrasah yang bernama "the making of Nik Abdul Aziz."

Jika orang mahu naik dengan sekedar bersandar dibahunya atau berkonspirasi untuk menjatuhkannya, maka percayalah. Orang atau orang-orang itu tidak akan kekal lama justeru ia menyalahi segala hukum dan protokol pembikinan biasa kelahiran seorang pemimpin. Kata pepatah Inggeris, "Usually a true leader is not born. It is made."

Jika kita semak kisah Nabi Allah Yusuf Alaihissalam misalnya, kita akan cepat menangkap keunikan Yusuf yang didewasakan melalui pelbagai ujian. Usialah yang menjadi latar tempat dan masa bagi tumbuhnya benih kepimpinan. Sekurang-kurangnya, Nabi Yusuf a.s. telah diuji dalam sembilan keadaan iaitu:


a) Menjadi sasaran kebencian saudara-saudaranya.

b) Berpisah dengan keluarga.

c) Dibuang ke sumur dalam usia 12 tahun.

d) Dijual dan menjadi hamba sahaya.

e) Digoda dan dirayu wanita.

f) Dituduh memperkosai isteri perdana menteri.

g) Dipenjara selama 9 tahun.

h) Mendapat kekayaan dan kenikmatan yang melimpah.

) Memaafkan saudara-saudaranya.

Menyemak sejarah Mahatma Gandhi, kita boleh temui proses kematangan yang dilalui beliau melalui lorong usia yang hampir sama. Mari kita amati fakta-fakta ini.

a) Dalam usia 13 tahun, beliau dipaksa berkahwin dengan seorang perempuan bernama Kasturba.

b) Dalam usia 19 tahun beliau meninggalkan tanah air bagi menyempurnakan ijazah Undang-Undang.

c) Beliau berjanji pada ibunya untuk tidak minum arak, berzina, dan tetap menjadi Vegetarian sepanjang menimba ilmu di London.

d) Pada tahun 1891, beliau kembali ke tanah air dan memulakan langkah permulaan kerjayanya di Bombay dan Rajkot.

e) Pada tahun 1893, beliau telah berhijrah ke Selatan Afrika untuk menegakkan keadilan di sana. Beliau menetap di sana selama 12 tahun dan menubuhkan satu parti Natal India Congress untuk memulihkan kehidupan rakyat India di sana mengikut hak-hak keadilan dan tanpa pencabulan hak asasi manusia.

f) Pada 1914, beliau kembali ke tanah air, dan menubuhkan Satyagraha Ashram berhampiran Ahmedabad. Dipengerusikan oleh G.K. Gokhale dan Lokmanya Tilak, beliau telah menjelajah ke seluruh pelusuk negara untuk mendengar ceramah-ceramah yang disampaikan oleh golongan professional. Selepas itu, beliau mulalah menjejakkan kaki dalam kancah politik.

g) Beliau memperkenalkan tiga gerakan dengan satu matlamat untuk bebas daripada peraturan dan undang-undang British. Yang pertama ialah Non-Cooperation Movements, objektif penubuhannya adalah untuk mengembalikan keamanan di tempat itu melalui pemboikotan barangan-barangan yang diimport, mahkamah British dan sekolah-sekolah di bawah pentadbiran British, dan menggalakkan penggunaan barangan tempatan.

h) Yang kedua, ialah dengan menggerakkan Civil Disobedience Movement yang telah ditubuhkan pada 6 April 1930. Sebagai permulaannya Gandi March atau Satyagraha telah digunakan untuk menentang Undang-Undang Garam British; dan beliau mengarahkan pengikutnya untuk menghasilkan garam sendiri.

i) Yang ketiga, beliau telah menubuhkan Quit India Movement pada tahun 1942, dengan mendesak pihak British berundur dari negara itu. Selepas pihak British berundur, India telah mencapai kemerdekaan pada 15 Ogos 1947.

j) Pada 30 Januari 1948, beliau berakhir di muncung senapang seorang communalist. Merumuskan kepimpinan Gandhi, Pandit Jawaharlal Nehru sempat berkata begini: "The light has gone out of our lives and there is darkness everywhere."

Kembali kepada kisah Tuan Guru Nik Abdul Aziz, beliau kini dicadangkan oleh Zaid Ibrahim, pengerusi penaja Pakatan Rakyat Malaysia (PRM) untuk mempengerusikan PRM bagi mencontohi sifat kepemimpinan Gandhi.

Zaid melihat kualiti yang ada pada Tok Guru melangkaui sempadan usia, batas agama, dan tembok kaum.

Sejurus setelah Zaid membuat cadangan banci sokongan yang dibuat oleh NTV7 pada malamnya benar-benar mengesahkan kredibiliti Tok Guru Nik Abdul Aziz. Tok Guru memborong 44 peratus sokongan sementara Anwar mendapat 43 peratus.

Pendek kata, walaupun Tok Guru Nik Aziz sedang dikepung oleh isu di sekitar tajaan untuk mengerjakan haji, dan hingusan isu yang keluar dari bersin menantunya di PMBK, beliau tetap sabar bersahaja.

Terkini pula, ada tanda-tanda kerusi pesuruhjaya negeri beliau mahu digugat oleh seorang pemilik blog (mungkin atas suruhan) tetapi beliau masih tetap selamba kerana duri di hutan tidak siapa pun pernah menajamnya.

Melalui proses usia dan pengalaman yang panjang Tok Guru Nik Aziz yang kini berusia 78 tahun, sudah masak dengan sepak terajang. Sungguhpun beliau boleh dilihat perlahan kerana sedang berada dalam zaman septuagenarian yakni antara usia 70-79 tahun tetapi beliau masih dilihat utuh.

Mari kita tumpang keutuhan beliau bersaksikan kata-kata ini:

"Saya telah tua sekarang ini, dan hanya boleh membaca kepala angin samada ribut atau hujan akan turun berdasarkan pengalaman saya. Saya boleh baca contohnya jika air berombak, saya akan menyatakan mungkin ada tunggul di bawahnya. Tapi jika saya hendak mengangkat sauh sendiri sekarang ini saya sudah tidak berdaya melakukannya. Begitu juga hendak mengangkat dayung atau turun mencampakkan sauh pun saya tidak mampu. Orang lainlah yang perlu melakukannya. Jadi, saya hanya boleh baca kepala angin. Ini kerana terdapat angin yang bawa ribut atau hujan berdasarkan pengalaman saya yang ada."
Sebetulnya, proses usia adalah proses perjalanan kematangan. Jauhi dari tabiat tidak sabar. Usah dipaksa kematangan itu datang dengan menjolok durian yang lambat gugur. Laluilah denai pengalaman melalui urutan proses kematangan yang normal sebelum duduk di kerusi kemudi.

Biar ia berlaku secara natural. Jika tidak, usah disalahkan orang apabila orang menamakan kita sebagai budak awang yang belum mumayyiz. Jangan karier kita berakhir, mati muda dalam malu, terhingguk-hingguk di kerusi malas.

Penulis adalah setiausaha politik Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

@PR Jemapoh/Juasseh@

Thursday, November 19, 2009

Bala Kini Di Chenai ??



Dalam bahagian keempat wawancara misteri dengan penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang disiarkan dalam Malaysia Today, dia menceritakan kesukaran yang dihadapinya apabila dipaksa tinggal di luar negara.

Balasubramaniam - individu kontroversi berkaitan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu - juga mendedahkan, dia pulang ke Malaysia beberapa kali tahun ini tanpa melalui pemeriksaan imigresen.

Baca di sini (KLIK) Dari Bangkok Ke Kathmandu Dan Delhi-malaysiakini

Juga Di Sini (KLIK) Part 4- Bala-malaysia today








@PR Juasseh/Jemapoh@

Saturday, November 14, 2009

Anwar Penasihat Ekonomi Selangor

Semasa negara dilanda Krisis Kewangan Asia 1997, Anwar dalam kapasitinya sebagai Menteri Kewangan merumuskan pakej mendisplinkan kewangan negara dengan memotong perbelanjaan kerajaan sebanyak 18 peratus, memotong gaji para menteri dan menghentikan pembinaan projek mega.

Anwar menyerang terus gejala rasuah yang berleluasa dalam struktur kerajaan dengan melaksanakan audit telus terhadap konglomerat dan empayar perniagaan yang beliau dapati mengelak dari membayar cukai dan mengenakan bayaran tinggi untuk projek-projek kerajaan.

Majalah Times menobatkan Anwar antara 10 manusia paling berpengaruh di dunia ini, dan sejak Mac 2006, Anwar adalah Presiden Kehormat di Institut AccountAbility Sosial dan Etika yang berpangkalan di London.

Sementara itu komen dari Tim Pengerusi Perhubungan Umno Selangor adalah terlalu dangkal.

"Nilai Anwar cuma RM1"

SHAH ALAM - "Jika Anwar betul-betul pakar dalam bidang ekonomi, sudah pasti beliau akan dibayar setimpal dengan nasihat ekonomi yang boleh disumbangkan kepada Kerajaan Selangor. Nilai Anwar memang hanya RM1," kata Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Noh Omar.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pelantikan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor dengan elaun bulanan tetap RM1 seperti diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kelmarin.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, bayaran serendah RM1 itu adalah satu penghinaan kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh selain isyarat daripada Abdul Khalid agar Anwar tidak campur tangan dalam urusan ekonomi negeri tersebut.

"Saya rasa Anwar mungkin mendesak Khalid untuk masuk campur dalam urusan kewangan negeri Selangor. Barangkali kerana takut untuk melawan cakap ketuanya, Khalid terpaksa melantik Anwar tetapi dengan bayaran RM1," katanya ketika menghubungi :Sinar Harian:, semalam.

Sementara itu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M Manoharan agar sedar bahawa Kerajaan Selangor sememangnya gagal untuk membela nasib kaum India di negeri tersebut.

Menurutnya, alasan Khalid tidak mempunyai bajet yang mencukupi untuk tujuan tersebut tidak boleh diterima dan jelas menunjukkan kaum India di Selangor tidak pernah diberi perhatian selain dijadikan alat politik Pakatan Rakyat (PR).

"Pendekatan PR dalam membela kaum India di negara ini cukup berbeza dengan Barisan Nasional (BN). Contohnya dalam Bajet 2010, 10 peratus daripada RM200 bilion diperuntukkan untuk kepentingan kaum India.

"Tabung Ekonomi Kumpulan Usahaniaga (Tekun) yang sebelum ini untuk Bumiputera telah diperluaskan membantu kaum India de- ngan peruntukan RM15 juta kepada RM 20 juta," katanya.

sinarharian.com.my

Ulasan: Umno Bn dah terbiasa dengan upah yang tidak menusabah. Nilai bagi mereka adalah berapa banyak duit yg dapat dikaut. Ada sumber2 dari Parlimen mengatakan bahawa barangkali nilai upah tersebut terlalu rendah dan mengambarkan maruah kalau cuba dibandingkan oleh Dato' Omar dengan perlantikan penasihat ekonomi negara dari konsultan Yahudi sejak dari Mahathir lagi termasuk cubaan untuk bertemu dengan Presiden USA Bush satu ketika dulu.

Rakyat lebih yakin dengan anak tempatan yg bekerja keras dgn berilmu disusuli kejujuran dari kononnya menjadi tuan tapi kekayaan negara disalirkan keluar. Kera dihutan disusukan anak di rumah mati kelaparan.

@PR Juasseh/Jemapoh@

Bank Negara Di Gesa Siasat AMLA MB NS

Transaksi Haram, MB N.Sembilan Perlu Disiasat


KENYATAAN AKHBAR

13hb Nov 2009, Jumaat

BANK NEGARA MALAYSIA MENYIASAT SEGERA TERHADAP MOHD HASSAN, MENTERI BESAR NEGERI SEMBILAN YANG MENGIRIM DANA SEBANYAK RM 10 JUTA KE LUAR NEGARA

Pada 26 Okt 2009, Bank Negara Malaysia telah mengumumkan pembatalan sebanyak 20 lesen perniagaan pengurupan wang di bawah Akta Pengurupan Wang 1998. Bank Negara tidak memberi alasan dan sebab pembatalan lesen-lesen yang dinyatakan.

Antara bukti-bukti diperolehi BNM, didapati maklumat yang menunjukkan Datuk Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan melalui Salamath Ali Money Changer Sdn Bhd (salah satu lesen perniagaan pengurupan wang yang dibatalkan) telah mengirim sejumlah wang yang bernilai RM10 juta ke London pada tahun 2008.

Kegiatan ini telah melanggar Akta Pengurupan Wang 1998 antaranya,

Seksyen 30(1)(b), “… perbuatan yang melibatkan, yang berkaitan dengan, atau sebagai persediaan bagi, pengiriman atau pemindahan dana ke luar Malaysia…” dan;

Seksyen 35(b), “memberikan apa-apa maklumat yang palsu dalam sesuatu butir material bagi mana-mana Akta ini”.

Persoalannya, adakah MB Datuk Seri Mohd Hassan bersedia menjelaskan sama ada transaksi ini dijalankan melalui saluran sah mengikut Undang-undang Malaysia? Bolehkah beliau secara telus menerangkan dari mana datangnya dana sebanyak RM10 juta dan apakah tujuan transaksi tersebut?

Saya menyeru kepada Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz menyiasat segera terhadap Salamath Ali Money Changer Sdn Bhd serta mengumumkan siapa penerima dan pengirim yang berkaitan serta tujuan transaksi yang dijalankan.

Saya turut menyeru Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat segera terhadap punca-punca dana sebanyak RM 10 juta yang dikirim oleh Mohd Hassan dan penerima transaksi yangditujukan.

Dari maklumat yang saya perolehi, terdapat banyak tokoh-tokoh pernigaan serta ahli-ahli politik sering mengguna langkah ini mengirim dana ke luar negara. Saya percaya dana sedemikian datang dari punca-punca yang melanggar undang-undang.

Perniagaan pengurupan wang merupakan bidang perniagaan yang multi-billion. Berikut merupakan statistik yang diperolehi daripada BNM

Jumlah Kes yang disiasat oleh Bank Negara Malaysia yang disyaki melanggar seksyen 30 adalah seperti berikut:

Tahun No. Kes

2006 3

2007 7

2008 12

2009 92

Jumlah: 144

Pada tahun 2009, telah berlaku 92 kes yang melanggar seksyen 30 dalam Akta tersebut. Perkembangan ini (pada tahun 2008, 12 kes telah meningkatkan kepada 92 kes pada tahun 2009) adalah satu fenomena yang membimbangkan. Ini menunjukkan bahawa pengiriman wang secara haram makin tidak terkawal.

Manakala maklumat yang ada mendedahkan bahwa BNM mengenakan tindakan terhadap hanya satu pengirim dana yang melanggar Seksyen 30 Akta Pengurupan Wang 1998. Pengurupan wang ini telah dikompaun sebanyak RM50,000.00 pada tahun 2006.

Saya ingin tahu kenapa BNM tidak menyiasat kes-kes yang lain dan tiada sebarang perkembangan dalam siasatan semua ini. Saya harap Gabenor BNM menjelaskan perkara ini.

Akhir sekali, saya menegaskan sekali lagi BNM dan SPRM harus ambil tindakan undang-undang yang tegas untuk melindung kedudukan ekonomi negara kita daripada korupsi dan kegiatan jenayah. Hanya siasatan yang adil dan telus dapat mengembalikan keyakinan awam terhadap institusi-institusi pentabiran negara.

YB TIAN CHUA
AHLI PARLIMEN BATU

Ulasan: Sekiranya kes ini disiasat atau pun tidak...imej MB NS pasti tercemar. Ini adalah salah satu modal Ts Isa Samad berkokok berulang2. Umno NS bercakaran sejak Ts Isa dipecat dari Naib Presiden Umno dan Menteri Wilayah Persekutuan ketika era Pak Lah. Tuduh menuduh antara mereka terutama rompakan hutan balak masih dlm ingatan antara 2 kabilah ini. Dato' Ishak pasti tergelak berdekah2 langkah silat antara permainan 2 pemimpin Umno ini. Dato' Ishak tersingkir dari calon Adun PRU 12 gara2 bersuara tegar membantah salah laku mereka di Dewan Undangan satu ketika dulu.