Majlis Pakatan Rakyat

Majlis Pakatan Rakyat
Cahaya Keadilan & Kemenangan Pasti Terbit ; Negara ini mesti berubah. Mungkin kita kalah dalam satu atau dua pertempuran, tapi saya yakin kita akan memenangi peperangan ini,"ANWAR IBRAHIM"

Sunday, February 27, 2011

Gelombang Pemuda PAS, BN Perlu Sedia Untuk DiJatuhkan!




Berbanding Himpunan 15,000 (H15K) Pemuda PAS di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 2006 dahulu, semboyan untuk mengadakan Himpunan 30,000 (H30K) Pemuda PAS di agak lewat ditiupkan. Malah, kurang sistematik berbanding H15K yang dipantau langsung penyertaannya secara harian dari penanda aras pendaftaran online.

Namun hakikatnya, semarak kebangkitan yang berlaku di Timur Tengah baru-baru ini nyata sedang menular hebat hinggakan sejarah baru tercipta pada tanggal 19 Februari lalu apabila jumlah Pemuda ke H30K di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut melebihi sasaran.

Semangat itu cepat merebak tatkala aturcara ceramah pada malam tersebut pula dibanjiri sekitar 50,000 hadirin yang rata-rata adalah masyarakat awam tempatan.

Lantaran itu, ketika pimpinan Umno-BN memberi reaksi bernada larangan berhubung kebangkitan di Timur Tengah, isyarat jelas rakyat telah pun dibuktikan di Kedah pada hari tersebut. Nescaya juga di dada majoriti rakyat Malaysia ketika ini dibungkam sembunyi dengan roh kebangkitan sedemikian.

Maka, sepertimana nasihat para pimpinan Pakatan Rakyat, Umno-BN perlu bertarung di padang sama rata mengikut lunas demokrasi sebenar agar diturunkan secara bermaruah atau bersedia menghadapi gugatan semangat dari rakyat yang semakin meluap-luap lalu dijatuhkan dalam keadaan memalukan.

Cetusan Anak Muda

Gema laungan takbir yang memenuhi ruang angkasa Kompleks PAS Kedah hari itu menunjukkan betapa bersemangatnya anak-anak muda. Disebalik motivasi disampaikan para pimpinan, suara-suara peserta himpunan menggesa agar segera turun ke jalan raya. Tentu sekali ia dari dorongan untuk mengekang kejahatan BN seterusnya mempertahankan kemenangan ketika ini lalu membuka laluan ke Putrajaya.

Menurut Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahya, kehadiran itu menunjukkan kesetiaan anak muda kepada perjuangan dan wala’ mereka kepada parti. Ujarnya, goncangan anak muda ini mampu menjatuhkan BN seterusnya melorongkan jalan ke Putrajaya. Ujarnya juga, golongan pemuda hari ini telah menyaksikan bahawa titik peluh, pengorbanan, susah payah lalu adalah perjuangan hingga datangnya anugerah kemenangan dari Allah pada hari ini. Lantaran itu tegasnya, pemuda wajib terus memberikan sumbangan kepada perjuangan ini.

Manakala Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil menegaskan bahawa himpunan itu sebagai ikrar pemuda untuk terus mempertahankan kemenangan rakyat. Beliau juga secara sinikal melontarkan ingatan kepada regim BN bahawa himpunan itu menjadi isyarat bahawa kebangkitan lebih besar boleh berlaku.

Dalam nada seumpama, Naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man pula menyindir suara-suara kebimbangan pemimpin Umno terhadap kebangkitan rakyat. Sehubungan itu, beliau menyifatkan himpunan itu telah pun memberikan petanda tersebut.

Kekal Di Landasan

Disebalik gelombang kebangkitan dan jumlah yang memegahkan itu, pemuda turut diperingatkan agar memelihara perjuangan ini agar ianya selari dengan kehendak Allah SWT.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi menegaskan bahawa jatuhnya musuh lantaran maksiat yang dibuat oleh mereka. Sehubungan itu, Pemuda PAS nasihatnya perlulah memelihara diri dari kemungkaran dan memiliki sahsiah yang berbeza dari pemuda Umno. Jelasnya, kemenangan adalah kerana takwa dan beliau menyeru pemuda memenuhi sifat ansarullah yakni penolong-penolong agama Allah hatta sekiranya perjuangan memerlukan nyawa dan darah mereka.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula berkata, ketika persediaan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih Putrajaya, Pemuda PAS perlu terus meletakkan diri sebagai agen perubahan dan duta penyelamat.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak turut mengingatkan pemuda bahawa kemenangan datangnya dari Allah Taala. Oleh itu pemuda tegasnya, perlu mendokong perjuangan ini berteraskan prinsip akhlak dan keyakinan kepada Allah serta beristiqamah Islam. Katanya, pemuda tidak perlu mengikut cara pihak lain sebaliknya terus menjaga nilai dan dasar PAS.

Keterbukaan PAS

Himpunan itu tidak hanya membawa mesej mengenai kesediaan para pemuda dan kemampuan PAS mengembleng tenaga semata-mata. Tetapi citra siasah yang dibawa Pemuda PAS kepada masyarakat melalui kesenian dan sukan turut dipadatkan sempena himpunan itu.

Mengisi persembahan pentas menyaksikan penampilan artis, Pak Long dengan lagu popularnya ‘Selagi Ada Rindu’ disamping tazkirah oleh selebriti, Bob Lokman yang secara rasmi menyertai PAS pada hari tersebut. Manakala sesi petangnya berlangsung perlawanan muhibah antara pasukan Pilihan Pemuda dengan Veteran Bola Sepak Kebangsaan yang menyaksikan Pemuda ‘dibelasah’ 8-1.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa mengulas perkara itu sebagai keterbukaan PAS. Bahkan katanya, disebalik pelbagai fitnah dilontarkan kepada PAS, penerimaan terus meningkat hinggakan membuka sokongan bukan Melayu kepada PAS. Kesannya ujar beliau, PAS kini semakin disegani gerakan Islam diseluruh dunia.

Alangkah hebatnya...sekiranya gelombang ini menular dan terhimpun di Kuala Pilah khususnya Jemapoh....

Friday, February 25, 2011

Penamaan Calon Kerdau

Penamaan Calon Merlimau

Photobucket

HAJI YUHAIZAD ABDULLAH ( PAS) LAWAN ROSLAN AHMAD ( UMNO / BN)





Penyokong2 dari Pakatan Rakyat Juasseh/Jemapoh yg diketuai oleh Ketua AMK Cabang Kuala Pilah En Helmi dan Pengerusi PR Juasseh Tuan Haji Rosli telah memulakan langkah awal ke Merlimau selepas subuh tadi.

Moga prinsip yang digenggam akan terus bersemarak ke Kuala Pilah pada PRU 13 yg akan datang. - Insyaallah -

Sunday, February 13, 2011

Kelemahan Najib semakin membebankan rakyat



Merlimau & Kerdau

ENTAH mengapa nasib di zaman Najib. Itulah ketentuan Allah, mana yang boleh disekat mungkin dapat disekat dan yang tiada upaya untuk disekat terpaksa hadapi jua. Terdapat beberapa kes yang masih tergantung samada perlu ada Pilihanraya Kecil atau tidak, sehingga dibawa ke mahkamah. Cuma soal ajal sudah sampai, tiada lagi upaya untuk mengelak.

Terbaru, ADUN Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada Umno meninggal dunia petang tadi.

NONE

Allahyarham dikatakan menghembuskan nafas terakhirnya ketika dalam perjalanan ke hospital selepas dilaporkan terjatuh di bilik air rumahnya. Datuk Zaharuddin disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Ini memberi erti satu lagi PRK terpaksa diadakan. Membawa erti juga `bulan akan jatuh ke riba' buat penduduk di kawasan Dun Kerdau. Mulai sekarang mereka boleh berkira-kira untuk meminta apa jua dan permintaan akan dikabulkan serta merta. Bahkan, benda yang mereka tidak minta pun puak-puak ini akan bawakan ke Kerdau.

azlan

Mengikut undang-undang pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari. Zaharuddin, 63, menang kerusi DUN Kerdau pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim.

Kawasan tersebut mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus Melayu, 6 peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus kaum-kaum lain.

Sekali lagi kerusi ini bakal ditandingi oleh PAS seandainya `status quo' diambil kira. Melihat situasi di sini, memang PAS sesuai untuk bertanding cuma diharapkan kali ini biarlah calon yang lebih berwibawa dan rapat dengan pengundi-pengundi di Kerdau ini.

Jangan bertanya samada PAS boleh menang atau tidak. Apa yang perlu ditanya terlebih dahulu adalah adakah SPR sudah membuang `tali' pada hidungnya? Adakah Umno berani bertarung secara jantan?
azlan



Berapa banyak pula peruntukan akan dicurahkan di Kerdau? Adakah rakyat Pahang terutamanya di kawasan Kerdau tidak berani melakukan perubahan? Sama-sama kita tunggu.

Biarlah kita selesaikan dulu di PRK Dun Merlimau. Samada orang Merlimau lebih cerdik dari orang Kerdau atau sebaliknya. Atau, kedua-duanya sanggup jadi `hamba' dulu, kini dan selamanya

Saturday, February 12, 2011

Anwar Ibrahim bersiaran langsung dari CNN International

Kira-kira jam 0930 pagi waktu New York (0930 malam tadi [Rabu] waktu Malaysia), Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim bersiaran langsung dari CNN International, New York, Amerika Syarikat.



Program yang ditemuramah oleh wartawan CNN Hong Kong, Kristie Lu Stout menerusi sidang video secara langsung ini membicarakan tentang bagaimana kesan demokrasi di Mesir mampu mengubah dunia Islam secara keseluruhannya.

Turut ditanya, adakah teori domino yang bermula di Tunisia dan sedang melanda Mesir juga akan membadai Malaysia selepas ini.

Transkrip penuh wawancara ini akan disiarkan kemudian.

Video ihsan CNN Center, New York, Amerika Syarikat


Thursday, February 3, 2011

Dr Mahathir seorang yang bijak - Nik Aziz


http://www.buletinonline.net/index.php?option=com_content&view=article&id=2985:isu-nasionalisma--jawapan-saya-untuk-tun-dr-mahathir&catid=51:kenyataan-media
Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia. Allah SWT berfirman :

وَقُلْنَا اهْبِطُوا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ وَلَكُمْ فِي الأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَمَتَاعٌ إِلَى حِينٍ

Yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". – (Surah al-Baqarah, ayat 36)

KOTA BHARU, 3 Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui Tun Dr Mahathir Mohamad seorang yang bijak dan mencadangkan kebijakasanaan beliau itu digunakan untuk Islam.

"Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT," kata Nik Aziz dalam satu tulisan khasnya bertajuk "Isu Nasionalisme : Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir."

Beliau menjawab serangan Mahathir kepada beliau ekoran keengganan Nik Aziz turut menyerang Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang meminta umat Islam mengurangkan keislaman mereka.

"Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh Umno. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan Umno. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew," kata Nik Aziz dalam tulisannya itu.

Berikut adalah tulisan Nik Aziz sepenuhnya.


Isu Nasionalisme : Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir


Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah. Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya semata-mata.

Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap kenyataan yang keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. – Surah al-Nur, ayat 24

Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew.

Pertama saya ingin nyatakan kepada Tun Mahathir bahawa asas Islam tidak sama dengan nasionalisme. Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah dinyatakan apakah tujuan hidup ini. Tidak pernah saya terdengar sepatah kata dari pimpinan UMNO yang menghuraikan berkenaan tujuan hidup seorang manusia di muka bumi.

Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir mereka.

Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud : Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2)

Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Jika syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya.

Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh?

Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan soleh?

Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46.

Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu.

Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". – (Surah al-Baqarah, ayat 36)

Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya.

Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya yang bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka!

Adakah benar baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang?

Di Kelantan, mereka juga menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan oleh bekas wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO?
Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api permusuhan lama jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO.

Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir?

Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir?

Hari ini, UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar.

Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina? Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam jauh sekali!

Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang beriman tetapi al-Quran tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT.

Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar.

Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama. Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan.

Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?

Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)


HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu.

Bertarikh : 29 Safar 1432H / 2 Februari 2011

Harakahdaily