Majlis Pakatan Rakyat

Majlis Pakatan Rakyat
Cahaya Keadilan & Kemenangan Pasti Terbit ; Negara ini mesti berubah. Mungkin kita kalah dalam satu atau dua pertempuran, tapi saya yakin kita akan memenangi peperangan ini,"ANWAR IBRAHIM"

Sunday, August 16, 2009

Menyingkap agenda tersirat Muhyiddin
Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakah.net.my
Wed | Aug 12, 09 | 11:25:14 am MYT


TIMBALAN Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba-tiba membuka gelanggang perdebatan, dengan mendakwa Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat Melayu.




Media massa yang menjadi alat pengampu Umno-Barisan Nasional digunakan sehebat-hebatnya untuk menyerang Anwar dan mengecam PAS yang turut diheret sama kononnya menggadai masa depan Melayu-Islam kerana berkawan dengan DAP.

Seolah-olahnya Muhyiddin dan media pengampunya mahu memberitahu rakyat bahawa Umnolah sebuah parti yang jujur dan tulen memperjuangkan nasib Melayu.

Jujurkah Umno? Tulenkah Umno? Memang isu ini amat menarik untuk diperdebatkan, khususnya oleh orang-orang Melayu, kerana ia bakal membuktikan kepada rakyat, siapa sebenarnya pengkhianat kepada bangsa Melayu.

Seharusnya Muhyiddin mencermin diri sendiri terlebih dahulu, apakah perjuangan Umno benar-benar tulen untuk membela nasib bangsa? Jika Umno pejuang tulen, mengapa Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal?

Muhyiddin harus juga memikirkan, apakah beliau semasa menjadi Menteri Besar Johor tidak lama dahulu, beliau tidak terbabit dalam mengadaikan tanah dan kepentingan Melayu kepada bukan Melayu, khususnya rakyat asing dari negara jiran?

Dalam isu PPSMI misalnya, yang diakui sendiri beliau di Perth baru-baru ini dengan mengatakan 3 juta pelajar Melayu menjadi korban dasar PPSMI.

Soalnya mengapa Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin Umno menyokong dasar 'membunuh' bangsa yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir Mohamad sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri dahulu?

Muhyiddin hanya membuka pekung Umno. Sekaligus beliau memberitahu rakyat bahawa betapa bodohnya pemimpin-pemimpin Umno yang menyokong dasar PPSMI secara membuta tuli, demi kepentingan politik Umno, walaupun dasar itu menindas bangsanya sendiri?

Dalam kolum ini, penulis belum berhasrat untuk membahaskan persoalan siapa sebenar pengkhianat Melayu secara terperinci.

Penulis mahu melontarkan persoalan dari sudut yang berbeza, iaitu mengapa tiba-tiba sahaja Muhyiddin beria-ia mencanangkan ketuanan Melayu dan menempelak Anwar, yang pernah menjadi pemimpin yang disokong dan disanjungnya sebagai pengkhianat?

Penulis beranggapan 'tembakan' Muhyiddin terhadap Anwar bukan bertujuan untuk membunuh karier politik Anwar semata-mata. Beliau ada agenda yang lebih besar dari itu.

Justeru, apa agenda tersirat Muhyiddin dalam konteks ini? Pada penulis tindak tanduk Muhyiddin sebenarnya mencurigakan orang-orang Umno sendiri.

Tatkala Presiden Umno dan PM, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak bercakap soal One Malaysia, rakyat pelbagai bangsa diutamakan, Muhyiddin pula bercakap sebaliknya, seolah-olah mempamerkan beliau seorang yang rasis.

Tindakan Muhyiddin bercanggah dengan aspirasi Najib yang meuar-uarkan dasar liberalisasi pentadbirannya, yang menarik balik atau memansuhkan puluhan dasar kepentingan bumiputera.

Umno kini ibarat kapal dengan dua nakhoda. Apa yang berlaku ialah wujud perbezaan ketara antara Najib dengan Muhyiddin. Ini menunjukkan perbezaan pendapat dan perpecahan dalam Umno masih wujud, khususnya di kalangan pemimpin tertinggi.

Politiking dalam Umno memang hebat. Masing-masing tidak mempercayai rakan sendiri, masing-masing berjuang untuk melindungi kepentingan peribadi dan puak. Najib takut dicantas Muhyiddin dan Muhyiddin juga mahu mencari jalan untuk menjadi PM.

Masa tidak mencukupi buat Muhyiddin kerana usianya lebih tua daripada Najib. Beliau hanya boleh tunggu sepenggal sahaja lagi untuk menaik setakuk. Barangkali Muhyiddin juga bimbang, beliau akan mengulangi nasib Tan Sri Musa Hitam sewaktu menjadi TPM di zaman Mahathir dahulu.

Oleh itu, sewaktu Najib sibuk mencari sokongan bukan Melayu, Muhyiddin mengorak langkahnya sendiri dengan percubaan untuk menjadi 'jagoan' menjuarai isu-isu Melayu. Najib cuba membuat reform supaya Umno lebih terbuka dan tidak rasis, sebaliknya Muhyiddin menarik 'gear' ke belakang.

Muhyiddin bukannya memperjuangkan semangat ketulenan Melayu, beliau hanya mahu memperkuatkan 'political base'nya sahaja.

Muhyiddin tahu teras sokongan kepada Umno ialah dari orang-orang Melayu, bukan dari bangsa lain. Bagi Muhyiddin inilah masa yang terbaik buat beliau, iaitu sewaktu Umno lemah, untuk membangkitkan semangat rasis atau nasionalisme Melayu.

Ini adalah strategi serampang dua mata. Jika selepas ini dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil atau Umum, Umno-BN kalah juga, bermakna dasar One Malaysia yang diperkenalkan Najib merupakan suatu kesilapan.

Maka ketika itu orang-orang Umno yang dalam setahun dua ini dibentuk dengan persepsi bahawa Muhyiddin adalah nasionalis tulen, akan menuding jari pula kepada Najib, sekaligus menyuruh PM berundur dan digantikan dengan Muhyiddin.

Dalam politik Umno tiada jaminan setiakawan. Muhyiddin bersama Najib dalam satu kumpulan wawasan yang bertembung dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang sekumpulan dengan aruah Tun Ghafar Baba dalam pertembungan sengit Umno tahun 1993.

Mereka 'naik' dalam parti bersama Anwar, meninggalkan dan membuang Anwar sebaik bekas TPM itu dipecat pada tahun 1998.

Selepas Abdullah lantik TPM oleh Mahathir, Muhyiddin meninggalkan Najib yang sekumpulan dengannya dahulu untuk menyertai 'geng' Abdullah pula.

Selepas kegagalan besar Umno-BN pada PRU 2008, Muhyiddin mengambil kesempatan dari kelemahan Abdullah, 'menikamnya dari depan' dengan membuat gesaan berulangkali supaya berundur dari jawatan PM.

Maka dalam keadaan sekarang, tidak mustahil suatu hari nanti, Najib juga, jika tersilap langkah, akan menerima nasib yang sama dengan Abdullah.

Semua ini hanya sekelumit bukti yang menunjukkan bahawa, pemimpin-pemimpin Umno bukannya jujur memperjuangkan kepentingan bangsa, tetapi lebih kepada perjuangan untuk kepentingan peribadi, demi merebut jawatan dan kuasa.

Reform untuk memperbaiki Umno dari dalam akan terus menemui kegagalan kerana mereka mempunyai pemimpin-pemimpin yang materialistik dan tamak.

Hanya kuasa rakyat sahaja yang boleh menghentikan semua kedangkalan ini. - mks._

No comments: