Majlis Pakatan Rakyat

Majlis Pakatan Rakyat
Cahaya Keadilan & Kemenangan Pasti Terbit ; Negara ini mesti berubah. Mungkin kita kalah dalam satu atau dua pertempuran, tapi saya yakin kita akan memenangi peperangan ini,"ANWAR IBRAHIM"

Saturday, January 10, 2009

Pilihan Ke 2 Pakatan Rakyat

11hb Jan 2009 AHAD
Pilihan raya kecil Kuala Terengganu menjadi pilihan raya kedua pernah disertai oleh Pakatan Rakyat selepas Permatang Pauh. Walaupun penubuhan Pakatan Rakyat adalah atas kejayaan parti-partinya dalam pilihan raya umum ke-12, tetapi ia menyertai pertandingan itu bukan atas nama Pakatan Rakyat.
Pakatan Rakyat ditubuhkan hanya selepas pilihan raya umum itu. Justeru penyertaannya ke dalam pilihan raya berlaku baru dua kali iaitu di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Secara rasmi anggotanya ialah Parti Keadilan Rakyat, Parti Islam Se-Malaysia dan Parti Tindakan Demokratik. Dua parti yang bertanding atas tiket Keadilan tetapi belum secara rasmi anggota Pakatan Rakyat ialah Parti Sosialis Malaysia dan Parti Demokratik Malaysia .
Parti Sosialis Malaysia ialah parti serpihan daripada Parti Rakyat Malaysia yang bergabung dengan Parti Keadilan Nasional untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat. Parti Demokratik Malaysia adaah parti serpihan Parti Tindakan Demokratik. Parti ini pula mempunyai asal daripada Parti Tindakan Rakyat cawangan Malaysia . Justeru istilah Rakyat tidak asing daripada Pakatan Rakyat.
Nama-nama lama Parti Rakyat Malaysia ialah Parti Rakyat Malaya dan Parti Sosialis Rakyat Malaya. Sementara nama-nama lama Pas ialah Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PMIP) dan Biro Agama Umno. Justeru sejarah parti-parti Pakatan Rakyat sudah lama, sekurang-kurangnya sama umur dengan Umno sendiri. Tetapi jika dikira bahawa Parti Rakyat mewarisi Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan Kesatuan Melayu Muda, maka Pakatan Rakyat mendahului Umno dari segi perjuangan.
Cuba bandingkan Barisan Nasional didaftarkan pada tahun 1974 dan bertanding pilihan raya umum sebanyak lapan kali dan menang kesemuanya. Pakatan Rakyat baru bertanding dua pilihan raya kecil tetapi belum berdaftar. Sebab itu ada pihak yang memusuhinya tidak mahu mengiktiraf kewujudan Pakatan Rakyat. Mereka tidak mahu menyebut istilah Pakatan Rakyat sebaliknya hanya dinyatakan sebagai pakatan pembangkang.
Tetapi andai kata diusahakan supaya Pakatan Rakyat didaftarkan, maka usaha akan dibuat untuk menggagalkannya. Perkara ini pernah cuba dilakukan oleh Barisan Alternatif yang dianggotai oleh Parti Keadilan Nasional, Parti Islam Se-Malaysia, Parti Tindakan Demokratik dan Parti Rakyat Malaysia pada tahun 1999. Usaha mereka ditolak kerana dikenakan syarat bahawa gabungan parti hendaklah sekurang-kurangnya enam buah parti bukannya empat.
Mengapa pula enam buah parti? Apa rasional syarat itu? Terpulanglah pada mana-mana parti yang hendak bergabung, hatta dua parti sekalipun. Andai kata Barisan Alternatif ada enam buah parti, maka diletakkan syarat 12 pula. Sedangkan Sosialis Front yang didaftar pada tahun 1960-an mempunyai tiga anggota saja iaitu Parti Rakyat, Parti Buruh dan Parti Konvensyen Nasional.
Justeru jika dikirakan bahawa Pakatan Rakyat belum didaftarkan, maka secara rasmi, ia belum wujud dan belum bertanding dalam mana-mana pilihan raya. Usaha untuk menafikan kewujudan Pakatan Rakyat ini adalah sikap untuk menghalang penubuhan sistem dua parti. Bagi yang berkuasa, mereka mahu supaya hanya satu parti yang dominan iaitu Barisan Nasional untuk selama-lamanya. Yang lain hanya duduk di pinggiran.
Tetapi hakikat politik tidak akan dapat mengelak diri daripada menjadi dua parti. Pakatan Rakyat nampak baru tetapi hakikatnya sejak dari dahulu lagi sudah ada dua pihak yang wujud untuk berlawanan di antara satu sama lain. Secara tidak rasmi dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008, penyokong-penyokongnya menyebut mengenai Barisan Rakyat yang terdiri daripada Barisan Alternatif, Parti Tindakan Demokratik, Parti Sosialis Malaysia dan Parti Demokratik Malaysia. Barisan Alternatif pula terdiri daripada Parti Islam Se-Malaysia dan Parti Keadilan Rakyat.
Maka dalam pilihan-pilihan raya terdahulu, pakatan pembangkang juga bernama Barisan Alternatif, Angkatan Perpaduan Ummah-Gagasan Rakyat dan Harakah Keadilan Rakyat.
Malah sebelum merdeka lagi, Perikatan UMNO-MCA-MIC dicabar oleh Pusat Tenaga Rakyat-Majlis Bertindak Bersama Seluruh Malaya (Putera-AMCJA).
Pusat Tenaga Rakyat dipendekkan menjadi Putera. Lawannya ialah Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra. Nama Putra ini kini menjadi begitu berleluasa. Daripada Putrajaya, Universiti Putra Malaysia , Pusat Dagangan Dunia Putra hinggalah kepada nama taman dan Proton Putra.
Maka ketika Perikatan UMNO-MCA-MIC mendokong Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Putera-AMCJA pula menggagaskan Perlembagaan Rakyat. Lihatlah istilah Rakyat ini sentiasa digunakan sebagai melambangkan pihak alternatif kepada parti yang berkuasa.
Barisan Alternatif sudah bertanding dalam pilihan raya umum sebanyak tiga kali iaitu 1999, 2004 dan 2008. Maka pertama kali ia bertanding pada tahun 1999, Barisan Alternatif memenangi negeri Terengganu. Dengan kalah pada tahun 2004 dan 2008 tentu banyak pengajaran yang mampu diperoleh.
Tetapi dalam pilihan raya kecil di Kuala Terengganu kali ini, kehadiran DAP adalah jelas. Maka semua pendokong Pakatan Rakyat mesti ingat, perjuangan bukannya untuk PAS semata-mata tetapi Pakatan Rakyat menentang Barisan Nasional.

No comments: