Majlis Pakatan Rakyat

Majlis Pakatan Rakyat
Cahaya Keadilan & Kemenangan Pasti Terbit ; Negara ini mesti berubah. Mungkin kita kalah dalam satu atau dua pertempuran, tapi saya yakin kita akan memenangi peperangan ini,"ANWAR IBRAHIM"

Tuesday, August 24, 2010

Sistem Pendaftaran Pemilih Secara Automatik Lebih Menguntungkan Rakyat



Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof bercadang untuk memohon kepada pihak kerajaan bagi menambah peruntukan daripada RM1 kepada RM3 seorang bagi pendaftaran pemilih baru. Peruntukan ini adalah sebagai upah kepada penolong pendaftar pilihanraya yang dilantik daripada kalangan anggota parti politik, NGO, pemimpin masyarakat dan lain-lain lagi untuk mencari pemilih baru. Terdapat lebih 4.38 juta atau 28.3 peratus daripada kira-kira 15.4 juta rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas masih belum mendaftar sebagai pemilih. Bilangan ini akan bertambah secara puratanya hampir 500,000 orang setiap tahun. Sebelum ini SPR membelanjakan RM200,000 setiap tahun untuk membiayai pendaftaran pemilih baru ini.

Peruntukan yang akan dipohon ini adalah tiga kali ganda daripada peruntukan sebelum ini. Jika diluluskan oleh pihak kerajaan maka peruntukan meningkat kepada RM600,000 setahun. Dalam tempoh 4 tahun akan menjadi RM2.4 juta . Pendaftaran pemilih baru ini memerlukan promosi dan pemantauan daripada pihak SPR. Petugasnya perlu menjaga kaunter-kaunter daftar pemilih di tempat orang ramai seperti di pasar raya, program-program kemasyarakatan dan seumpamanya. Taklimat, mesyuarat, pengendalian kaunter daftar pemilih, pengesahan daftar pemilih dan pelbagai lagi aktiviti perlu dilaksanakan oleh SPR. Semua ini melibatkan kos tambahan kepada SPR. Jika SPR di peringkat negeri-negari termasuk Wilayah Persekutuan memperuntukkan RM20 ribu setahun untuk tujuan ini maka dalam tempoh 4 tahun, wang rakyat yang akan dibelanjakan adalah sebanyak RM1.12 juta. Jika dijumlahkan, perbelanjaan yang diperlukan keseluruhannya akan mencecah RM3.52 juta. Kos yang tinggi ini dapat dikurangkan sekiranya pihak kerajaan bersetuju untuk membuat pendaftaran pemilih secara automatik. Pelaksanaan secara automatik merupakan kaedah yang lebih efisyen dan efektif dalam proses pendaftaran pemilih baru selain dapat menjimatkan penggunaan duit rakyat dan tenaga kerja.

Antara contoh negara-negara yang mengamalkan pendaftaran pemilih secara automatik adalah Indonesia dan Autralia. Rakyat tidak perlu beratur panjang dan penolong pendaftar pilihanraya tidak perlu dilantik. Pihak SPR hanya perlu mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan senarai warganegara yang sudah mencapai umur 21 tahun. Kemudian data ini akan diproses menjadi senarai daftar pemilih baru. Tugas ini sangat mudah dan dapat mengelakkan daripada manipulasi data oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Walaubagaimana pun Perkara 119(c) Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa warganegara yang layak mengundi perlu mendaftar. Berikutan pindaan ini maka akan berlakulah beberapa pindaan terhadap Akta Pilihanraya 1958(Akta 19). Pindaan ini boleh dibuat oleh pihak kerajaan di Parlimen. Ahli Parlimen Batu Pahat YB Dr. Mohd Puad Zarkashi telah menyatakan bahawa peruntukan yang dipohon oleh SPR adalah membazir dan beliau sendiri mencadangkan dilakukan pendaftaran secara automatik. Maka terpulanglah kepada pihak kerajaan sama ada mahu membuat pindaan terhadap perlembagaan negara atau mahu membiarkan pembaziran tenaga dan wang rakyat bagi mendaftarkan pemilih baru. Tepuk dada tanyalah kehendak kerajaan.

Selepas pindaan dibuat terdapat satu lagi proses yang perlu dilakukan oleh SPR iaitu persempadanan semula kawasan pilihanraya. Ini perlu kerana dikhuatiri terdapat Parlimen tertentu yang terlalu ramai pengundinya, mungkin sehingga melebihi 100 ribu orang pengundi. Maka wajarlah dibuat persempadanan semula. SPR perlu menyediakan garis panduan yang adil dalam menentukan persempadanan semula kawasan pilihanraya. Persempadanan selepas pilihanraya 1999 adalah satu contoh di mana ketidakwajaran telah berlaku apabila tiada garis panduan yang jelas digunakan, sebaliknya lebih cenderung kepada formula yang menguntungkan pihak parti pemerintah. Kawasan yang dimenangi pembangkang dipecah-pecahkan manakala kawasan pengundi tegar Barisan Nasional(BN) dimasukkan ke dalam kawasan yang dimenangi pembangkang dengan tipis. Di negeri Johor yang menjadi kubu kuat BN terdapat 6 kerusi Parlimen tambahan. Malangnya di negeri-negeri bawah pemerintahan kerajaan Barisan Altenatif(BA) iaitu Kelantan dan Terengganu tiada langsung tambahan kerusi Parlimen. Seolah-olahnya SPR mendapatkan cadangan daripada BN terlebih dahulu bagi membuat persempadanan semula kawasan pilihanraya. Jika SPR mahu dihormati oleh rakyat, janganlah menjadikan dirinya ibarat parti komponen Barisan Nasional. Janganlah ulangi kesilapan persempadanan semula sebelum ini.

Pengerusi SPR telah menyatakan bahawa punca SPR tidak boleh melakukan pendaftaran pemilih secara automatik adalah kerana tiga perkara. Pertamanya kebanyakan pengundi tidak tinggal di alamat seperti dalam kad pengenalan. Ini boleh mendatangkan masalah semasa hari mengundi. Keduanya, kerajaan tidak boleh memaksa pengundi kerana bertentangan dengan hak asasi manusia. Ketiganya peratus pengundian akan merosot lebih daripada 50% jika sistem baru dilaksanakan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz juga memberi alasan yang sama terhadap cadangan Jawatankuasa Bersih 2 yang telah menyerahkan memorandum kepada SPR baru-baru ini.

Alasan bahawa kebanyakan pengundi tidak tinggal seperti alamat dalam kad pengenalan boleh di atasi dengan memberi peringatan kepada seluruh rakyat Malaysia agar mengemaskini alamat terkini bagi memudahkan mereka menunaikan tanggungjawab semasa hari mengundi. Setelah peringatan ini dibuat dalam tempoh yang munasabah barulah sistem baru ini dilaksanakan. Ini juga memberi kebaikan kepada semua agensi kerajaan untuk berurusan dengan rakyat selepas ini kerana mereka tinggal seperti alamat di kad pengenalan mereka. Sebarang urusan kerajaan selepas ini akan menjadi lebih mudah. Inilah merupakan tugas dua dalam satu. Jika ada pengundi yang masih tidak menukar alamat mereka maka bukanlah menjadi alasan yang besar bagi mereka tidak mengundi semasa pilihanraya diadakan. Masa perjalanan antara satu tempat dengan tempat yang lain sudah semakin singkat. Banyak perubahan infrastruktur yang telah dibangunkan oleh pihak kerajaan untuk kemudahan rakyat bergerak. Perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur hanya memakan masa 3 jam sahaja bukannya 8 jam seperti 20 tahun dahulu. Oleh itu alasan sukar untuk balik mengundi kerana jaraknya yang jauh ini sudah tidak boleh diterima lagi pada masa kini. Jika ada juga alasan ini, bukanlah kerana jarak yang menjadi masalah tetapi kesedaran diri terhadap tanggungjawab kepada negara itu yang harus dipersoalkan. Itu memerlukan kempen kesedaran lain untuk mengatasinya.

Alasan kedua di mana pihak kerajaan menyatakan bahawa sistem baru ini melanggar hak asasi manusia adalah suatu alasan yang dangkal. Kerajaan bukannya memaksa rakyat mengundi. Hak untuk mengundi atau tidak masih diberikan kepada rakyat. Kita bukan mahu mengubah akta memaksa rakyat mengundi. Kita sedang membicarakan pendaftaran pengundi secara automatik. Mereka yang cukup umur secara automatik layak mengundi tidak melibatkan pemaksaan ke atas pengundi. Sama juga dengan kaedahnya jika ibu dan bapa adalah warganegara Malaysia maka secara automatik anaknya adalah warganegara. Peraturan tersebut ada dalam perlembagaan negara dan tidak melanggar hak asasi manusia.

Alasan ketiga iaitu pendaftaran secara automatik akan mengurangkan peratus keluar mengundi. Tidak dinafikan bahawa apabila pemilih didaftar secara automatik maka peratus mengundi akan merosot kerana kesedaran rakyat terhadap pengundian masih terlalu rendah. Persoalannya apakah SPR perlu berbangga dengan jumlah keluar mengundi 80% jika terdapat 4.3 juta rakyat layak mengundi tetapi tidak mengundi? SPR perlu lebih memahami yang penting adalah ramainya rakyat Malaysia yang mengundi bukannya berbangga dengan peratus pengundian yang tinggi sedangkan hakikatnya masih ramai rakyat tidak mengundi. Peratusan pengundian hanyalah angka sahaja. Belum tentu menggambarkan kesedaran rakyat terhadap hak dan kepentingan mengundi. Rakyat Malaysia tidak sepatutnya dikelirukan seperti mana kekeliruan yang ditimbulkan daripada laporan keadaan ekonomi negara. Angka-angka yang ditunjukkan oleh pihak kerajaan berkaitan perkembangan ekonomi negara selalunya membanggakan namun hakikatnya rakyat masih juga hidup merana. Jika SPR memahami bahawa peratus keluar mengundi akan merosot maka seharusnya menjadi cabaran kepada SPR untuk membuat kempen kesedaran berkenaan tanggungjawab mengundi di kalangan rakyat. Peruntukan yang dipohon oleh SPR untuk tujuan pendaftaran pemilih sekarang lebih munasabah disalurkan kepada program sebegini.

Masalah utama kepada cadangan pendaftaran pemilih secara automatik bukannya terletak kepada SPR tetapi lebih kepada kehendak pihak kerajaan sendiri. Sistem baru ini sedikit sebanyak menyusahkan parti-parti politik khususnya parti pemerintah. Mengikut pemerhatian, pengundi-pengundi baru di kalangan anak muda yang terdedah kepada pelbagai sumber maklumat khususnya melalui media baru adalah mereka yang sangat kritikal terhadap setiap dasar dan tindakan pihak kerajaan. Jika mereka diberi peluang mengundi maka besar kemungkinan mereka tidak mengundi parti pemerintah berdasarkan prestasi kerajaan yang sedia ada. Inilah yang sangat menakutkan UMNO BN yang banyak bergantung kepada pengundi veteran yang setia namun semakin kurang bilangannya.

Peruntukan sebanyak RM3 bagi seorang pemilih baru sebenarnya menghina rakyat itu sendiri. Bagaimana lemahnya tanggungjawab sivik rakyat negara ini sehingga perlukan RM3 untuk meminta mereka mendaftar mengundi. Mengundi adalah tanggungjawab sebagai seorang warganegara. Rakyat yang bertanggungjawab dan berkualiti menjadi faktor utama kemajuan dan kesejahteraan sesebuah negara. Tidak mengambil berat terhadap proses pengundian melambangkan ketidaksetiaan rakyat kepada negara ini. Persoalannya apakah kesetiaan kepada negara ini boleh selesai dengan harga RM3? Negara kita sudah dimalukan dengan kejatuhan 81% FDI, kehilangan enjin jet pejuang dan kebolosan pendatang Afganistan daripada tahanan, janganlah SPR menambah malu kepada negara. Jika slogan ‘rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’ itu dilaksanakan sepenuhnya maka tidak ada sebab sistem baru ini tidak diluluskan. Sistem baru ini lebih sistematik, jimat, mudah dan kurang manipulasi. Tetapi kalau slogan itu hanya retorik sahaja maka SPR akan terus membazirkan duit rakyat yang sepatutnya boleh digunakan untuk aktiviti yang lebih berfaedah.

No comments: