Negeri Selangor Darul Ehsan adalah satu-satunya negeri yang pada ketika ini menghadapi tekanan dan mehnah yang tidak pernah berkesudahan. Negeri yang terkaya dan termaju ini tidak seharusnya dilepaskan oleh UMNO/BN kepada pembangkang tetapi takdir telah menentukan bahawa sudah sampai ketikanya rakyat di Selangor menikmati pembaharuan. Selepas negeri kesayangan UMNO ini jatuh ke tangan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PKR, UMNO seolah-olah merasakan dunia ingin kiamat. Apakah yang membuatkan UMNO terlalu kecewa dengan kehilangan Selangor di dalam genggamannya? Tidak lain tidak bukan adalah kerana aset-aset dan kepentingan yang terdapat di negeri itu. UMNO telah lama menikmati kemewahan yang diperolehi dari negeri tersebut terutama di kalangan pemimpinnya. UMNO merasakan masih banyak harta dan projek yang perlu diagih-agihkan kepada puak-puak mereka. Kini, setelah kehilangan sebuah negeri yang selama ini `membuncitkan' perut mereka, pemimpin UMNO di Selangor mula bercakap pasal ugama dan ketuanan Melayu. Semenjak bila UMNO begitu sensitif dengan hukum hakam agama Islam ? Tidak terlintaskah difikiran mereka sewaktu memerintah Selangor dahulu untuk berbicara tentang ketuanan Melayu ? Di dalam soal arak dan judi, UMNO kini dilihat lebih lantang bersuara dan kadangkala nadanya melebihi dari suara pemimpin PAS di Selangor. Malangnya, suara yang tidak pernah ikhlas itu apatah lagi kejahilan agama di kalangan pemimpin UMNO di dalam menyuarakan isu tersebut, tidak mendapat sokongan rakyat terutamanya orang-orang Islam di Selangor. Rakyat di Selangor bukan baru setahun dua mengenali UMNO dan mereka tahu apa yang UMNO telah lakukan semasa memerintah dahulu. Apa sahaja isu yang dibangkitkan oleh pemimpin UMNO di Selangor untuk memburukkan kerajaan Pakatan Rakyat, terlalu mudah untuk ditepis dan kadangkala memakan diri mereka sendiri. Lebih banyak mereka bersuara, lebih luas pekung di dada mereka yang terbuka. Rakyat Selangor sewajarnya bertuah kerana memiliki MB Tan Sri Khalid yang sentiasa tenang, beretika dan profesional di dalam menguruskan pentadbiran di Selangor. MB Selangor tidak mudah melatah dengan `gertakan' dan `cuitan' dari pemimpin UMNO di Selangor. Berbagai tindakan dan provokasi telah dilakukan oleh UMNO terhadap beliau, namun MB Selangor ini telah masak dengan sikap dan perangai UMNO. Itulah hasil tarbiyah dan didikan yang diperolehi ketika parti beliau berada di dalam kesusahan dan penderitaan sebelum ini. PKR bukan sekejap menerima kesusahan dan penderitaan, semuanya itu banyak mengajar parti ini untuk memperkuatkan semangat dan jati diri. Oleh kerana semangat dan jati diri ini lah yang membuatkan UMNO sentiasa gagal di dalam usahanya untuk meruntuhkan kerajaan negeri yang baru dibentuk ini. Saya percaya UMNO tidak akan berjaya meruntuhkan kerajaan Pakatan Rakyat walau dengan apa cara dan muslihat sekalipun. Tetapi, kerajaan baru ini tidak mustahil tumbang angkara tangan-tangan dari dalam. Kita telah diasuh untuk berdepan dengan musuh sekian lama, tetapi kita mungkin tidak diasuh untuk berdepan dengan rakan-rakan kita. Kadangkala merasa pelik dan hairan juga kita, setelah sekian lama kita berjuang dengan titik peluh, air mata dan kadangkala darah yang mengalir bagi menuntut reformasi, bila kita diberi sedikit kejayaan kita mula lupa diri dan tidak kenal siapa musuh dan siapa rakan seperjuangan kita. MB Selangor sebenarnya tidak pernah rasa rungsing dan tertekan dengan mainan politik UMNO, tetapi beliau lebih tertekan dengan tingkah laku rakan-rakan yang dahulunya sama-sama untuk bersusah senang. Sikap tidak memahami dan kurang sabar sesetengah rakan pimpinan Pakatan Rakyat di Selangor kadangkala menjejaskan kelancaran pentadbiran di negeri tersebut. Jika ada sesetengah pemimpin yang agak toleran dan berdiplomasi dengan prinsip rakan-rakan yang lain, pemimpin ini dianggap seolah-olah terkeluar dari jamaah mereka. Mereka seolah-olah tidak menyedari bahawa yang memerintah kerajaan Selangor sekarang adalah dari kumpulan mereka iaitu Pakatan Rakyat. Kerajaan di Kelantan di bawah PAS sendiri pun mengambil masa bertahun-tahun secara beransur-ansur untuk melaksanakan beberapa dasar parti tersebut, sedangkan negeri berkenaan hampir 100 % berbangsa Melayu dan berugama Islam. Sudah tentu Selangor juga perlu mengambil sedikit masa untuk memuaskan semua rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat. Apa yang penting, negeri berkebajikan dan dasar ekonomikan rakyat di Selangor perlu dijadikan `kepala' untuk menyusuri langkah-langkah seterusnya.
1 comment:
Ye ke? takde reference boleh caya ke? kalo dah politik tu mane2 parti pun same. Politik sekarang bukan tunjuk kebolehen, tunding kelemahan orang ramai la
Post a Comment