Majlis Pakatan Rakyat

Majlis Pakatan Rakyat
Cahaya Keadilan & Kemenangan Pasti Terbit ; Negara ini mesti berubah. Mungkin kita kalah dalam satu atau dua pertempuran, tapi saya yakin kita akan memenangi peperangan ini,"ANWAR IBRAHIM"

Thursday, July 30, 2009

Hanya Sejarah Menilai Dan Menghukum Mahathir ??


Kami percaya, hanya sejarah yang berhak menghargai dan menghukum Dr. Mahathir Mohamad.

Selama hampir 20 tahun, kami — dan generasi seangkatan —hanya mengenali Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia. Selama 22 tahun, Mahathir itu adalah Malaysia; dan Malaysia itu Mahathir. Selama 22 tahun, semuanya tentang Mahathir.

Kami sekali-kali tidak akan pernah menafikan sumbangan Dr. Mahathir selama 22 tahun beliau mentadbir Malaysia. Ya, selama 22 tahun diurus Mahathir, Malaysia mencapai kemajuan material yang bukan sedikit.

Mantan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra pernah menyatakan bahawa beliau ingin menjadi ‘Mahathir’ di Thailand. Awas! –Untuk menjadi ‘Mahathir’, Thailand bukanlah negara yang sesuai. Lihat apa kesudahan Thaksin hari ini. Saksikanlah bagaimana rakyat menghukum Thaksin.

Kami percaya, ramai di kalangan anak-anak muda sezaman cukup mengagumi Dr. Mahathir sewaktu di bangku sekolah dahulu. Kami masih ingat, sewaktu ditanya oleh guru tentang siapa tokoh yang disanjungi, maka tiada jawapan lain yang terlintas selain ‘Mahathir’.

Tanggal 2 September 1998 mengubah segala persepsi tentang Mahathir. Negarawan dan wira Dunia Ketiga ini mulai dilabel sebagai diktator gila kuasa dan seorang kuku besi yang sanggup melakukan apa saja demi mempertahan legasi dan kekuasaannya.

Lebih dari itu, umum mulai didedahkan dengan dakwaan penyelewengan dan salahguna kuasa yang melibatkan usaha beliau untuk melindungi kepentingan ekonomi ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Sejak dari itu, demonstrasi jalanan mulai jadi resam warga Kuala Lumpur. Setiap hujung minggu, tanpa gagal, Kuala Lumpur menyaksikan ribuan rakyat bersuara mendesak agar pemimpin yang selama ini diagung-agungkan oleh mereka agar berundur dan meletak jawatan.

Dan ketika itu, wajah sebenar Dr. Mahathir tersingkap. Polis diperkuda dan dikerah menjadi pelindung segelintir elit politik yang mabuk kuasa. Institusi kehakiman, mahkamah dan badan-badan perundangan dicabul sewenang-wenangnya.

Dunia memandang Malaysia penuh sinis. Kecaman demi kecaman diterima sehingga ke peringkat di mana Naib Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Al Gore memboikot majlis makan malam yang dipengerusikan oleh Dr. Mahathir bersempena Persidangan Ekonomi Asia Pasifik yang diadakan di Kuala Lumpur pada Oktober 1998 sebagai tanda protes atas pencabulan hak asasi manusia di Malaysia.

Populariti Dr. Mahathir merosot teruk, terutamanya di kalangan orang Melayu. Ini jelas dibuktikan menerusi keputusan Pilihanraya Umum (PRU) pada tahun 1999 yang menyaksikan kekalahan UMNO di Kelantan dan Terengganu. Bilangan kerusi yang dimenangi oleh Barisan Alternatif (gabungan PAS, DAP dan PRM) di peringkat DUN dan Parlimen bertambah.

Barangkali setelah menyedari bahawa dirinya sudah tidak relevan lagi dalam arus politik UMNO, Dr. Mahathir menguji pasaran dengan mengumumkan perletakan jawatan sebagai presiden UMNO, pengerusi Barisan Nasional dan Perdana Menteri ketika Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan pada November 2002.

Umpan Dr. Mahathir mengena dan majoriti perwakilan dengan dikepalai oleh Abdullah Badawi menolak perletakan jawatan tersebut. Pelan peralihan kuasa dirangka antara Dr. Mahathir dengan Abdullah dan keputusan dicapai melalui penetapan 31 Oktober 2003 sebagai tarikh rasmi penyerahan kuasa membabitkan dua pemimpin terbabit.

Tempoh setahun sebelum tarikh peralihan telah digunakan sepenuhnya oleh Dr. Mahathir untuk memperbaiki imejnya yang tercalar. Media-media milik UMNO secara agresif berperanan membentuk persepsi positif terhadap Dr. Mahathir menjelang hari-hari akhir beliau sebagai Perdana Menteri.

Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah persidangan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan persidangan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dalam tahun 2003 sememangnya sesuatu yang amat dinantikan oleh Dr. Mahathir. Gelanggang kedua-dua persidangan ini telah digunakan sebaik mungkin oleh beliau untuk memperbaiki reputasinya di peringkat antarabangsa dengan penonjolan dirinya sebagai wira negara-negara Dunia Ketiga dan hero umat Islam.

Kecaman beliau terhadap bangsa Yahudi di hadapan pemimpin-pemimpin negara OIC — beberapa hari sebelum persaraannya —cukup signifikan dalam usaha terakhirnya untuk dilihat sebagai tokoh Islam yang punyai keberanian dan kewibawaan. Ya, hasilnya cukup menguntungkan kerana rata-rata kebanyakan media antarabangsa menjadikan kecaman beliau itu sebagai bahan berita dan topik perbincangan utama pada keesokan harinya.

Dunia Arab memuji Dr. Mahathir manakala Barat mengecam beliau sebagai anti-semitik. Umat Islam di Malaysia — yang cukup sensitif dan bersentimen dalam isu ini — mulai menghitung nasib mereka seandainya Dr. Mahathir bersara kelak sehingga ada yang bertanya: Siapa lagi yang mampu membela kita?

Nostalgia 22 tahun mulai dicanang oleh media-media milik UMNO. Segala sumbangan dan kejayaan yang telah dicetuskan oleh Dr. Mahathir diulang-ulang saban hari dalam membangkitkan mood kesedihan dan rasa terhutang budi rakyat terhadap beliau.

Sebaik sahaja Abdullah mengambil alih tampuk pentadbiran negara, rakyat merasakan seolah-olah muncul sinar baru di Malaysia. Kejayaan Barisan Nasional meraih mandat besar dalam PRU 2004 membuktikan harapan tinggi rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Abdullah selaras dengan manifesto beliau yang sarat dengan pelbagai agenda perubahan.

Tindakan Abdullah yang tidak mahu dilihat berada di bawah bayangan Dr. Mahathir menimbulkan rasa tidak senang bekas Perdana Menteri itu. Imej bersih yang dimiliki Abdullah cuba digugat oleh Dr. Mahathir dengan mulai menyerang beberapa dasar dan keputusan yang diambil oleh kabinet antaranya keputusan membatalkan projek jambatan bengkok yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura.

Dr. Mahathir — sama ada kita sedar atau pun tidak —secara sistematik menyerang Abdullah dengan menjadikan Khairy Jamaluddin sebagai modal politik. Khairy dicanang sebagai individu oportunis yang berada di belakang Abdullah dalam merencana pentadbiran negara dan banyak mempengaruhi Abdullah berhubung beberapa keputusan penting kabinet.

Pembebasan Anwar Ibrahim pada September 2004 turut memberikan tamparan hebat kepada Dr. Mahathir. Rakyat menyambut baik keputusan mahkamah membebaskan Anwar dan menaruh harapan agar suasana politik negara akan kembali stabil setelah apa yang terjadi pada tahun 1998. Tindakan Abdullah yang menyatakan bahawa beliau tidak mencampuri keputusan mahkamah membebaskan Anwar dibaca oleh umum sebagai tanda bahawa Abdullah tidak mahu mewarisi ‘kezaliman politik’ yang dilakukan oleh Dr. Mahathir terhadap Anwar.

Tahun lalu negara dikejutkan dengan pendedahan Anwar berhubung rakaman video yang menunjukkan seorang peguam terkenal, VK Lingam sedang berbual melalui telefon bimbitnya dengan bekas Ketua Hakim Negara yang pada ketika itu merupakan seorang hakim kanan dalam merancang untuk mempengaruhi Dr. Mahathir berhubung urusan pelantikan hakim.

Skandal ini mendapat perhatian meluas media tempatan dan antarabangsa sehingga memaksa Majlis Peguam berdemonstrasi menuntut agar ditubuhkan satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kesahihan dan dakwaan dalam rakaman video tersebut.

Imej Dr. Mahathir semakin terjejas kerana beliau turut diheret sama ke mahkamah bagi memberi keterangan berhubung dengan penyiasatan klip video tersebut. Sepanjang sejarah, ini merupakan kali pertama seorang tokoh yang pernah bergelar Perdana Menteri disapina ke mahkamah untuk didengar keterangannya.

Hasil siasatan suruhanjaya ini menyatakan bahawa ada kemungkinan berlaku kesalahan di sisi undang-undang membabitkan individu yang disebut dalam laporan berkenaan, termasuk Dr. Mahathir sendiri. Menurut Zaid Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, suruhanjaya tersebut telah mengenal pasti dan membuat keputusan bahawa rakaman klip itu adalah sahih serta mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap individu-individu yang dikenal pasti dan telah dikatakan melakukan kesalahan tertentu bersabit dengan kandungan rakaman video tersebut.

Keputusan PRU ke-12 pada 8 Mac yang lalu sememangnya sesuatu yang ditunggu oleh Dr. Mahathir. Sebaik saja keputusan rasmi diumumkan, Dr. Mahathir tidak menunggu lama untuk mengecam dan menyalahkan Abdullah atas apa yang berlaku. Secara terbuka, beliau menyeru agar Abdullah mengambil tanggungjawab penuh atas kekalahan teruk Barisan Nasional dengan meletakkan jawatan.

Kekalutan yang menimpa UMNO selepas Mac 2008 telah dimanfaat sepenuhnya oleh Anwar Ibrahim yang mengetuai gabungan parti-parti pembangkang melalui entiti Pakatan Rakyat. Anwar secara terbuka mendakwa bahawa beliau telah memiliki bilangan ahli-ahli Parlimen yang cukup untuk membentuk kerajaan yang baru menjelang tanggal 16 September 2008.

Ancaman Anwar ini menimbulkan keresahan di kalangan para pemimpin UMNO termasuk Dr. Mahathir sendiri. Beliau menggesa agar peralihan kuasa dalam UMNO disegerakan dan Najib Razak mengambil alih kepimpinan dalam usaha untuk menyatupadukan semula UMNO dan Barisan Nasional. Melihatkan tindakan Najib yang perlahan dan kurang bersungguh, Dr. Mahathir mengumpan sokongan terhadap bekas pesaingnya, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon paling ideal menggantikan Abdullah.

Tekanan yang dihadapi oleh Abdullah memaksa beliau mengumumkan tempoh peralihan kuasa yang akan berlaku pada pertengahan tahun 2010. Pun demikian, rata-rata ahli-ahli UMNO bimbang dengan tempoh yang agak lama dan ramai yang mendesak agar ianya dipercepatkan lagi. Tindakan Naib Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin yang secara terbuka mendesak agar proses peralihan tersebut dipercepatkan disambut secara baik oleh ramai pimpinan UMNO.

Abdullah sekali lagi terpaksa akur dan tunduk dengan tekanan ini. Pada bulan Oktober yang lalu, Abdullah mengumumkan bahawa beliau akan mengundur diri pada bulan Mac 2009 dan akan menyerahkan kepimpinan negara kepada Najib.

Kegagalan Anwar merealisasikan 16 September merupakan penawar kepada UMNO terutamanya dalam menghadapi proses pemilihan parti pada bulan Mac. Dr. Mahathir mulai menyatakan sokongan kepada Najib dan turut menzahirkan hasratnya untuk ikut campur tangan sebagai penasihat kepada bakal Perdana Menteri itu.

Apa yang pasti, Najib merupakan harapan terakhir Dr. Mahathir dalam usahanya untuk membersihkan reputasinya yang tercemar dengan segala tindakan bobroknya selama beliau memimpin Malaysia. Menjelang hari-hari tua beliau sebagai antara tokoh yang paling berpengaruh di Malaysia, Dr. Mahathir pastinya mahu mengekalkan legasi yang dibina sepanjang 22 tahun kepimpinannya.

Seperti yang dikatakan, hanya sejarah yang berhak menghargai dan menghukum Dr. Mahathir.

@bro Luv@

No comments: