Majlis Pakatan Rakyat

Majlis Pakatan Rakyat
Cahaya Keadilan & Kemenangan Pasti Terbit ; Negara ini mesti berubah. Mungkin kita kalah dalam satu atau dua pertempuran, tapi saya yakin kita akan memenangi peperangan ini,"ANWAR IBRAHIM"

Saturday, March 9, 2013

PRU12 dalam kenangan, PRU13 dalam terjemahan

Bagaikan bermimpi, sudah 5 tahun berlalu rupanya PRU12 yang lepas. Saat dan detik yang pasti tidak dapat dilupakan dalam lembaran sejarah Malaysia. Pada 8 Mac 2008, 'tsunami' politik telah melanda tanah air ini sehingga merubah lanskap politik Malaysia. BN hampir tumbang pada saat itu, hilang majoriti 2/3 di parlimen, hilang kuasa di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak, gagal menawan Kelantan serta kehilangan banyak kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan ibu negeri yang lain.

Rakyat khususnya di Semenanjung memberi isyarat dan amaran yang tegas kepada BN. "Tak selamanya kamu boleh tipu kami dengan gula-gula yang ditaburkan tiap kali menjelang pilihanraya. Kami ingin ajar kamu bahasa peti undi dan kuasa rakyat.."

Menyorot kembali keputusan PRU lepas, ia menunjukkan pembangkang (PR belum ditubuh ketika itu) berpotensi besar di kerusi-kerusi urban, dan separa bandar. Antara faktornya ialah akses media baru sebagai alternatif kepada rakyat untuk membuat pilihan. Ia berbeza bagi BN yang mempunyai kelebihan sebagai kerajaan pusat yang mengawal sepenuhnya media arus perdana termasuklah TV, radio dan surat khabar.

Maka, tak menghairankan BN lebih berkubu di kawasan kampung, pedalaman, Felda dan juga 'fixed deposit' di Sabah & Sarawak. Pengundi di kawasan sebegini kurang terdedah kepada sumber maklumat alternatif dan mempercayai seboleh mungkin segala propaganda Utusan, Berita Harian, RTM & TV3. Sebagai bukti, PR mampu menang di negeri maju seperti Selangor, Pulau Pinang dan hampir kesemua ibu negeri di Malaysia.

Mengikut pecahan kaum pula, PRU12 menunjukkan ketika itu kaum Cina dan India bangkit membuat perubahan manakala kaum Melayu agak kurang yang membuat perubahan. Maka hasilnya, PKR yang bertanding di kerusi campuran kaum dan DAP yg bertanding di kerusi majoriti kaum Cina mendapat kerusi yang lebih banyak berbanding PAS. Contoh yang paling mudah, kes di Perak di mana DAP mendapat kerusi DUN paling banyak manakala PAS mendapat paling sedikit.

Mengikut faktor geografi pula, arus 'tsunami' ini deras melanda di sebelah Pantai Barat dan Utara sahaja. Di sebelah Pantai Timur dan Selatan pula hanya tempias sahaja yang melanda. Maka hasilnya, BN masih kekal berkuasa di Johor, Melaka, Pahang dan Terengganu. Di Negeri Sembilan pula, BN gagal mendapat 2/3 kerusi Dun kerana kerusi campuran telah dimenangi DAP dan PKR. Di Sabah dan Sarawak pula jelas menunjukkan ketika itu, mereka sebagai penyelamat kerana berjaya menyumbangkan 55 kerusi parlimen kpd BN berbanding pembangkang hanya mendapat 2 kerusi (Kuching dan Kota Kinabalu). Di Semenanjung, BN hanya menang 85 kerusi manakala pembangkang pula mendapat 81 kerusi. BN juga gagal mendapat undi popular di Semenanjung iaitu 49% berbanding 51% dimiliki pembangkang.

Episod baru politik Malaysia ini tak terhenti di situ. PM, Pak Lah gagal untuk memimpin kerajaan baru pada 2008 ini dengan teguh sepertimana PRU 2004. Beliau ditekan daripada segenap sudut, dari dalam mahupun luar. Antara yang utamanya ialah persetujuan awal dari Ahli Parlimen BN "Kerajaan Baru 16 September" tajaan Anwar dan juga konspirasi kudeta rampasan kuasa di Perak. Akhirnya beliau berundur dan menyerahkan baton PM kepada penggantinya, Najib Razak. Senario politik Malaysia terus berwarna-warni dengan kemunculan NGO tajaan Umno iaitu Perkasa dan deretan NGO lain yang atas namanya pelbagai tapi hakikatnya ia dimiliki BN mahupun PR.

Setelah itu, giliran Pembangkang pula diuji iaitu 'katak-katak' pun muncul melompat ke seberang dengan diberitakan menerima  tawaran-tawaran jutaan ringgit dari BN . Walaupun mereka tidak menyertai BN secara terus tetapi hakikatnya mereka adalah 'bebas' yang pro BN. Antara aktor utamanya ialah Ibrahim Ali, Zahrain Hashim, Wee Choo Keong, dan Zulkifli Nordin.

PRU13: "Harapan baru untuk rakyat & perubahan yang membawa kesejahteraan..?"

Kini, pada bila-bila masa sahaja PM, Najib akan mengumumkan pembubaran parlimen dan sekaligus PRU13 akan dilangsungkan. Buat pertama kalinya, kelihatan PM begitu takut untuk membubarkan parlimen sedangkan mandat yang diberikan oleh rakyat secara moralnya tamat pada hari ini 8 Mac setelah genap 5 tahun. Tidak dapat dipastikan mengapa kali ini parlimen begitu lambat dibubarkan..? Mungkin sebab PM masih mencari masa yang terbaik pada ketika sekalian rakyat jelata merasai manisnya gula-gula yang diberikan itu atau mungkin juga PM belum yakin akan kemampuan BN utk kembali ke Putrajaya setelah kuasa yang ada sekarang diserahkan kepada rakyat.

Antara faktor lain yang menarik untuk kita perhatikan pada PRU13 ini ialah kecenderungan rakyat untuk membuat perubahan. Setakat ini, kelihatannya kaum Cina begitu kuat dan bersemangat untuk menukar kerajaan baru, kaum India sebahagian besarnya sudah mula berpatah balik kepada BN manakala kaum Melayu..? Kaum Melayu masih dalam dilema kerana mereka yang di pedalaman mahupun golongan intelektual ada yang termakan dengan momokan ‘jika PR menang, habislah nasib kita orang Melayu, Islam akan diketepikan, Raja akan hilang kuasa’ dan bermacam lagilah igauan mimpi ngeri yang cuba ditanam dalam minda orang Melayu. Maka usahlah dihairankan apabila munculnya Third Force, arus baru yang mengaku mereka tak berpihak kepada mana-mana tetapi hakikatnya mereka adalah penyelamat kepada BN antaranya ialah Jati dan juga Isma.

Di samping itu, PRU13 ini adalah "perang alam siber". Jika PRU 2008 dahulu, ruang vakum internet ini dikuasai sepenuhnya oleh pembangkang melalui blog, Youtube dan portal berita kini, BN telah pun menyedari kealpaan mereka dahulu. Maka medan pertempuran maklumat di alam maya ini sama ada melalui Facebook,Twitter, Youtube dan Blog menjadi persaingan hebat antara PR vs BN. Pelbagai kaedah dan strategi digunakan sehingga kadangkala ia melampaui batas seperti sebaran fitnah dan gambar yang diubah suai sesuka hati mengikut selera kecenderungan parti masing-masing. Begitu hebatnya penangan media baru ini begitu jelas dapat dilihat seperti contoh fenomena "Listen, Listen, Listen", "Ini semua salah Anwar", dan bermacam lagi virus maklumat yang begitu cepat tersebar dengan adanya fungsi button "share" di FB.

Sebagai akhirnya, PRU13 ini adalah cabaran getir buat kedua-belah pihak. BN akan berusaha dengan begitu bersungguh seperti mana amanat Presiden Umno, Najib pada 2010 iaitu "walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!".Malangnya ...Imej BN hampir musnah dengan pendedahan kes C4 Altantunya oleh Deepak adik angkat Rosmah dan penyiasat persendirian PI Bala yg di bayar oleh sahabat Najib Razak Baginda. Yang terbaru Kes Lahad Datu dengan amarah militan SULU yg telah mengorbankan Anggota Polis atas kegagalan perjanjian tanah & penempatan seperti dakwaan beberapa pemimpin SULU yang telah tersiar dalam media2 Filipina. Rakyat Sabah kecewa kerana hanya untuk memenangkan BN, projek IC oleh Mahathir kepada pendatang-pendatang ini telah mula "makan tuan"

Sebaliknya ..Kesedaran umum terhadap PR semakin terserlah bila bapa Saifool dlm kes liwat2 memohon maaf terbuka kepada Anwar dengan mendakwa bahawa ini adalah  satu konspirasi Najib untuk menjatuh Anwar. 

PR pula yang dikemudi oleh Anwar seboleh mungkin memacu bersama PKR, PAS dan DAP ke mercu kuasa Putrajaya. PAS dilihat memikul cabaran yang paling getir kerana secara tradisinya akan bertanding di kerusi majoriti Melayu. Kerja keras dengan gerak kerja serta maklumat-maklumat terkini wajib sampai kepada setiap pengundi sekiranya ingin bersama-sama melihat arus perubahan dalam kalangan kaum Melayu pendalaman untuk mendayung bahtera ke Putrajaya.

Impian PR untuk sampai ke Putrajaya juga akan menjadi realiti sekiranya berlaku perubahan besar di Sabah dan Sarawak, serta kaum Melayu dan India turut sama dengan arus perubahan. Dan sememangnya, faktor pengundi muda khususnya Generasi Y yang sifatnya kritikal dalam menilai juga akan menjadi salah satu faktor utama penentu dalam PRU 13 ini. Pengundi lain juga secara umumnya sudah semakin bijak dalam menilai dan membuat pilihan dengan syaratnya akses media yang adil sampai ke segenap lapisan masyarakat.
SPR pula sebagai pengadil perlawanan perlulah menunjukkan kesungguhan dan komitmen mereka dengan berani, telus dan adil untuk mengendalikan the mother of all election yang dijangka paling sengit dalam sejarah Malaysia ini.

Sebagai Muslim, kita tetap yakin dan percaya bahawa tiada kerajaan yang mampu kekal berkuasa selamanya kerana kuasa itu sebenarnya adalah milik Allah. Pemimpin yang dipilih itu perlu melaksanakan amanah dengan panduan dan suluhan wahyu Al Quran dan As Sunnah. Segala perancangan dan tipu daya yang dibuat manusia yang angkuh untuk kekal di puncak kuasa takkan mampu untuk melawan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Berkuasa.

Selamat mengundi. Laksanakanlah hak anda untuk memilih pemimpin dengan pertimbangan akal dan iman demi masa depan baru tanah air Malaysia kita yang tercinta ini.

Ruang Untuk Najib Memimpin Kemenangan BN Semakin Sempit


Apabila bapa Saiful Bukhari tampil memohon maaf kepada Anwar dan menyifatkan kes liwat yang melibatkan anaknya dengan Ketua Pembangkang itu adalah suatu konspirasi jahat semata-mata, ramai rakan-rakan dalam UMNO merasakan ianya merupakan "pukulan maut" kepada karier politik Najib. Najib pasti akan kalah pilihanraya nanti dan Anwar akan menjadi Perdana Menteri, kata mereka.

Beberapa pemimpin UMNO yang sempat saya hubungi dan berbual-bual juga mempunyai pandangan yang sama. Kata mereka, Najib sudah tidak ada harapan lagi untuk menghasilkan kejayaan buat BN berikutan semua isu akhirnya masuk ke gol sendiri.

Sebelum ini Anwar sudah dibebaskan dalam kes itu oleh hakim Mahkamah Tinggi dan kesnya akan menjalani proses rayuan Julai ini, kemudian ketua pendakwaraya, Yusof Zainal Abidin pula meletak jawatan dan kini bersama-sama dengan Anwar, kemunculan bapa Saiful turut memihak kepada Anwar tentunya mewujudkan persepsi malang lagi bagi Najib.

Rakyat dan pengundi setidak-tidaknya mula percaya bahawa isu liwat kedua itu adalah konspirasi politik sebagaimana yang sering didakwa oleh Anwar sendiri selama ini. Ruang Najib mencipta kemenangan lantas menjadi semakin sempit manakala laluan untuk Anwar memburu Putrajaya kelihatan semakin terbuka luas.

Tetapi apabila tidak lama kemudian, Saiful segera bingkas menafikan hujah bapanya itu, keadaan menjadi reda semula. Namun ia tidak pula menjadikan peluang Najib menjadi bertambah baik.

Ini kerana walaupun Saiful menyatakan bahawa bapanya telah menjadi mangsa kerakusan politik Anwar dan menegaskan beliau tetap istiqamah dengan pendiriannya, setidak-tidaknya dengan kemunculan bapa Saiful ini telah menyebabkan kepercayaan rakyat menjadi berbelah bagi terhadap Najib. Lebih-lebih lagi perancang yang didakwa bapa Saiful dalam isu liwat itu adalah merupakan salah seorang pegawai khas Najib dan beliau masih berdiam diri sehingga ini.

Sebab itu, tidak memeranjatkan apabila Anwar dengan berani menyatakan bahawa PR mempunyai keyakinan untuk memenangi pilihanraya akan datang dengan kelebihan sekurang-kurangnya 10 kerusi. Hujah Anwar itu sebenarnya bukan saja dikongsi oleh kebanyakan orang, malah beberapa pemimpin UMNO juga mengakui hakikat yang sama.

Sebelum munculnya bapa Saiful, Najib dan BN sebenarnya sudah pun terhenyak dengan kemunculan Deepak dan P Bala yang mendedahkan pelbagai perkara dan membuat pelbagai dakwaan terhadap Najib, daripada terlibat dalam isu Altantuya dan menerima wang sehinggalah kepada mengubah akuan bersumpah yang memihak kepadanya.

Jika dalam isu Deepak, Najib hanya menyatakan peniaga karpet itu tidak boleh dipercayai tetapi dalam kes P Bala, sehingga ini belum terdengar lagi apa-apa jawapan balas daripada Najib mahupun mana-mana ahli keluarganya, meskipun nama mereka disebut dengan jelas oleh penyiasat persendirian itu.

P Bala pula sudah memulakan siri jelajahnya untuk memastikan PR memenangi pilihanraya umum akan datang. Deepak pula sudah mengemukakan saman fitnah terhadap Najib, tetapi ini tidak bermakna beliau hanya mahu berdiam diri. Beliau mungkin sedang menunggu masa yang sama sesuai untuk membuat dakwaan baru sama ada terhadap Najib mahukan bekas kakak angkatnya, Rosmah Mansor.

Dengan P Bala yang berjanji akan pusing keliling Malaysia dan Deepak terus bersuara, ruang untuk Najib dalam pilihanraya akan datang ini sebenarnya semakin sempit dan terhimpit. Imejnya sudah musnah di mata umum. Beliau mungkin menghabiskan banyak masa menjelajah ke sana dan ke sini tetapi hakikatnya keadaan di bawah tidak banyak berubah. Persepsi yang sudah terbentuk sukar dihapuskan, lebih-lebih lagi apabila ianya tidak dijawab mahukan dinafikan.

Muncul pula insiden serangan terhadap pemberontak Sulu di Lahad Datu dan Semporna yang kini sudah pun mengorbankan 53 nyawa orang Sulu, menambahkan lagi kesukaran Najib sebenarnya. Walaupun perjuangan mempertahankan kedaulatan negara adalah suatu kewajipan dan pengorbanan pasukan keselamatan sentiasa disanjung tinggi, isu yang tidak dapat dielakkan ialah kemungkinan kematian 53 pemberontak itu menatijahkan ramai orang Sulu yang tidak puas hati dan kecewa terhadap kerajaan.

Kaum keluarga, sanak saudara, rakan-rakan, kenalan, jiran, isteri dan pelbagai hubungan lain dengan 53 pemberontak yang terbunuh itu tidak mustahil boleh membentuk jumlah penolakan yang besar akhirnya, lebih-lebih lagi jika perang di Lahad Datu dan Semporna itu terus berlanjutan untuk suatu tempoh yang lama lagi.

Mereka yang tidak berpuas hati ini tentunya menyalahkan kerajaan sehingga menyebabkan berlakunya perang yang mengorbankan banyak jiwa itu dan kenapa tidak diambil pendekatan lain yang tidak sampai menyebabkan kehilangan begitu banyak nyawa. Dalam hal ini kelemahan pimpinan dalam menangani krisis menjadi persoalan utama. Kelemahan pemimpin bermakna kelemahan kerajaan dan kelemahan kerajaan bermakna ia perlu ditukar. Itulah persepsi yang akan terjadi nanti.

Melalui 53 kematian orang Sulu setakat ini dan tidak tahu bila perang ini akan berakhir, kedudukan BN di Sabah nyata dalam bahaya. Lagi lama perang, lagi banyak BN akan kehilangan undi, khususnya daripada kalangan orang Sulu, baik yang memang asalnya menetap di Sabah mahupun daripada kalangan yang diberi kerakyatan dalam Projek IC dahulu.

Dengan pelbagai isu yang muncul mutakhir ini, Deepak, P Bala, perang di Lahad Datu dan kemunculan bapa Saiful, secara realitinya nyawa BN makin berada di hujung tanduk. Dan jika dicampur dengan pelbagai isu lainnya sejak Najib menghuni Seri Perdana, sudah terang lagi bersuluh kedudukan BN dan kerajaan yang ada sekarang di mata rakyat sebenarnya.

Itu belum dikira lagi kesan daripada perbuatan sabotaj dan kemungkinan beberapa pihak dalam UMNO dan BN sendiri yang akan "pusing" dalam pilihanraya nanti kerana kecewa tidak terpilih atau digugurkan sebagai calon.

Lebih malang bagi Najib ialah lagi beliau melengah masa untuk mengadakan pilihanraya, lagi gelap laluan di hadapannya.